PEMAIN Barcelona, Alexia Putellas dinobatkan sebagai pemenang Ballon d'Or kategori wanita buat kali kedua berturut- turut di Paris pada Selasa.
Di sebalik kejayaan tersebut pemain berusia 28 tahun itu berharap dapat pulih daripada kecederaan lutut serius sebelum hujung musim ini.
Bagaimanapun, dia enggan menyentuh mengenai masa depannya bersama skuad Sepanyol.
Anugerah itu menjadi milik Alexia selepas dia muncul penjaring terbanyak Barcelona dan mara ke final Liga Juara-Juara Eropah.
Anugerah yang diterima pada majlis yang berlangsung di Chatelet Theatre itu adalah sagu hati buat Alexia yang terlepas aksi Euro di England Julai lalu.
Dia kini dalam proses pemulihan selepas mengalami kecederaan lutut yang serius dan perlu bekerja keras untuk bermain pada musim ini.
"Keadaan lutut semakin baik dan kini saya perlu fokus kepada proses pemulihan.
"Jika semuanya berjalan lancar - seperti diharapkan doktor dan kelab - saya harap dapat bermain semula pada musim ini," katanya.
Saingan Piala Dunia wanita akan diadakan di Australia dan New Zealand pada Julai dan Ogos tahun depan, walaupun penampilan Alexia belum dapat dipastikan berikutan masalah lain selain kecederaan.