JOHOR BAHRU- Sepucuk pistol dipercayai milik polis yang dilaporkan hilang sembilan tahun lalu ditemui pemandu lori sampah, semalam.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Polis, Shahurinain Jais berkata, pistol jenis Revolver.38 itu ditemui di tepi Jalan Tahar 1.
"Hasil semakan dengan Tentera Mekanikal Rifle Persenjataan (Amra) IPK Johor dan Sistem Laporan Polis (PRS) mendapati pistol itu pernah dilaporkan hilang tahun 2010.
"Laporan dibuat oleh Penolong Pegawai Penyiasat Bahagian Narkotik, IPD Kulai pada tahun 2010 dan kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 35 Akta Senjata 1960," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Namun menurutnya selepas pemeriksaan lanjut dijalankan, pistol itu didapati telah berkarat dan tidak dapat berfungsi lagi.
"Senjata tersebut berada di dalam bungkusan plastik berwarna merah jambu di atas rumput tepi jalan tersebut.
"Dalam kebuk pistol tersebut terdapat empat butir peluru. Hasil penelitian terhadap senjata tersebut dapati sudah tidak sempurna yang mana telah berkarat dan sudah tidak berfungsi," katanya.
Menurutnya, laporan dibuat seorang pemandu lori sampah yang menemukannya ketika melakukan kerja pembersihan.
"Pusat Kawalan Daerah IPD Johor Bahru Selatan terima panggilan telefon daripada orang awam mengenai penemuan sepucuk pistol di tepi Jalan Tahar 1 pada jam 12.50 tengah hari.
"Pemandu lori sampah kata telah menjumpai sepucuk pistol yang berada dalam plastik sampah semasa sedang menjalankan kerja-kerja pembersihan di tepi jalan tersebut," katanya