BERLIN - Canselor Jerman Olaf Scholz memutuskan untuk mengekalkan operasi tiga loji kuasa nuklear negara itu sehingga pertengahan April tahun depan bagi mengelak kemungkinan krisis tenaga, lapor Agensi Anadolu.
Beliau berkata, asas undang-undang akan diwujudkan untuk membolehkan loji kuasa nuklear Isar II, Neckarwestheim II dan Emsland beroperasi selepas 31 Disember 2022 sehingga selewat-lewatnya 15 April 2023.
Iklan
Iklan
Canselor itu berkata demikian dalam surat yang diutuskan kepada Menteri Ekonomi, Robert Habeck dan Menteri Alam Sekitar, Steffi Lemke, kedua-duanya dari Parti Greens dan Menteri Kewangan, Christian Lindner dari Free Democratic Party (FDP).
Sejak beberapa hari kebelakangan ini FDP dan Parti Greens sering bertelagah mengenai isu berapa lama tiga loji kuasa nuklear itu perlu beroperasi.
Bulan lalu dilaporkan Jerman akan meneruskan rancangan untuk menutup loji nuklear menjelang akhir tahun ini tetapi bersedia mengaktifkannya semula andai berlaku kekurangan tenaga yang teruk.
Penutupan tiga loji itu secara rasmi akan menandakan berakhirnya penamatan fasa nuklear untuk pengeluaran tenaga domestik yang dimulakan di bawah bekas Canselor Angela Merkel. - Bernama