SHAH ALAM - Selangor berhasrat untuk menjadikan negeri ini sebagai lokasi penamat bagi penganjuran perlumbaan siri jelajah berbasikal, Le Tour De Langkawi (LTdL) pada edisi akan datang.
Exco Pembangunan Generasi Muda dan Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman berkata, LTdL merupakan satu penganjuran bertaraf antarabangsa malah ia turut mendapat liputan meluas di seluruh negara.
Beliau berkata, selain itu, dianggarkan seramai 400 juta penonton di seluruh dunia turut tidak melepaskan peluang menyaksikan acara pelepasan sukan berbasikal itu dan penglibatan Selangor pastinya akan memberi kelebihan bagi menarik pelancong ke sini.
"Untuk acara pelepasan LTdL sahaja, sekitar 400 juta tontonan di seluruh dunia dan ini sekali gus membuatkan Malaysia khususnya Selangor menjadi tarikan buat pelancong kerana ia satu publisiti yang besar.
"Insya-ALLAH, kita (kerajaan negeri) akan cuba mohon untuk jadikan Selangor sebagai tempat penamat pada tahun-tahun akan datang," katanya pada sidang media selepas Majlis Pelepasan Le Tour De Langkawi Peringkat Keempat yang berlangsung di Dataran Kemerdekaan Shah Alam, hari ini.
Terdahulu, Mohd Khairuddin menyempurnakan pelepasan 121 peserta LTdL bagi peringkat keempat yang bermula di Dataran Kemerdekaan dan berakhir di Genting Highlands.
Selain Khairuddin, antara tetamu kehormat lain yang turut hadir adalah Pesuruhjaya Sukan, Datuk Zaiton Othman; ADUN Dengkil, Adhif Syan Abdullah dan ADUN Kota Anggerik, Najwan Halimi.
Mengulas lanjut Mohd Khairuddin yang juga merupakan ADUN Paya Jaras berkata untuk penganjuran LTdL selepas ini, pihaknya akan menguruskan dengan lebih teratur dan memohon peruntukan khas daripada menteri besar bagi memastikan jumlah kehadiran pengunjung yang lebih tinggi.
"LTdL pada tahun ini merupakan penglibatan pertama Kerajaan Selangor selepas berlakunya perubahan pentadbiran di Putrajaya.
"Pada tahun-tahun akan datang, kita akan buat dengan lebih teratur untuk pastikan lebih ramai pengunjung dapat hadir untuk memberi sokongan,"katanya.
Tambah beliau, pihaknya juga berharap agar Jabatan Belia dan Sukan Selangor dan Majlis Sukan Negeri (MSN) akan terus memperbanyakkan program-program berbasikal selepas ini berikutan sukan itu mempunyai peminatnya yang tersendiri.