PDC komited banteras rasuah

Iklan
Roslan (tiga dari kanan) bersama Tuan Ruslan (dua dari kanan) membelek buku di reruai Rasuah Buster di Program Persatuan Kakitangan Islam PDC di Ibupejabat PDC pada Selasa.

BAYAN LEPAS - Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) akan terus bekerjasama dengan agensi kerajaan terutamanya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam memastikan kegiatan rasuah terus dibanteras.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PDC, Roslan Hassan berkata, beberapa siri program sudah dilaksanakan pihaknya bagi memantapkan integriti dalam kalangan kakitangan agensi berkaitan kerajaan (GLC) tersebut.

Iklan
Iklan

Menurutnya, dengan adanya penganjuran program-program tersebut, ia membuktikan bahawa PDC amat memandang serius berhubung pelanggaran integriti dan kegiatan rasuah.

"Pihak pengurusan PDC sentiasa memandang serius berhubung permasalahan berkaitan pelanggaran integriti dan rasuah. Sebagai sebuah agensi kerajaan negeri yang mendukung pelaksanaan Pelan AntiRasuah Nasional 2019-2023, pelbagai usaha ke arah pencegahan rasuah dilaksanakan dengan bimbingan SPRM dan Unit Integriti Pejabat Setiausaha Kerajaan Pulau Pinang.

Iklan

"Kita telah mengadakan pelbagai program sejak 2019 lagi dan kini, kita akan memperhebatkan lagi usaha itu dengan menganjurkan banyak program bagi memastikan tahap integriti lebih 400 kakitangan PDC berada pada tahap tertinggi," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Program Persatuan Kakitangan Islam PDC di di Ibupejabat PDC di sini pada Selasa.

Turut hadir, Pengarah SPRM Pulau Pinang, Tuan Ruslan Tuan Mat.

Iklan

Kata beliau, dengan penubuhan Unit Integriti PDC pada 13 Mei 2019, pihaknya telah melaksanakan inisiatif Pelan Anti Rasuah Organisasi (OACP) PDC (2021-2023), Corruption Risk Management (CRM) dan ISO 37001:2016 Anti Bribery Management System (ABMS).

Jelasnya, inisiatif itu sebagai langkah pematuhan dan menghalang berlakunya masalah integriti serta rasuah pada peringkat awal dalam kalangan warga PDC.

"Selain daripada penglibatan badan tadbir urus dan pengurusan atasan, pemantauan pelaksanaan program turut dijalankan oleh Jawatankuasa Integriti PDC yang dianggotai tiga timbalan ketua pegawai eksekutif bersama dua ketua bahagian dan unit integriti sebagai urusetia.

"Pihak pengurusan PDC juga sentiasa menyokong program-program pengukuhan integriti untuk dijalankan secara usahasama persatuan atau pertubuhan di PDC, anak syarikat PDC termasuk pembekal dan kontraktor yang terlibat dengan kita.

"Oleh itu, sekiranya berlaku ketidakpatuhan berkaitan integriti, pelan tindakan telah pun tersedia untuk dilaksanakan mengikut peruntukan-peruntukan akta dan pekeliling yang telah ditetapkan oleh PDC," katanya.

"la inisiatif pertama kali dilaksanakan di PDC dan pengurusan PDC menyokong kerjasama ini untuk tujuan kesedaran anti rasuah dan membanteras rasuah, pengukuhan jati diri serta menanam nilai-nilai integriti dalam kalangan kakitangan dan anak-anak syarikat PDC.

"Sebarang bentuk kerjasama dengan Rasuah Busters pada masa akan datang akan ditentukan oleh Ahli Jawatankuasa PKI-PDC dan Mesyuarat Agung Tahunan PKI-PDC," katanya.

Tambah Roslan, tahap integriti dalam kalangan kakitangan PDC setakat ini amat memberangsangkan yang mana, tiada kes dilaporkan kepada pihak berkuasa.

Bagaimanapun, kata beliau, pihaknya akan sentiasa memastikan warga PDC tidak terlibat dengan salah laku berhubung integriti dan amalan rasuah.

"Kita amat tegas dalam isu integriti dan sekiranya berlaku, kita tidak akan berkompromi dengan mereka yang terlibat.

"Kakitangan yang terlibat akan dikenakan hukuman berat dan kita akan bekerjasama dengan SPRM dalam melakukan siasatan dengan menyalurkan maklumat. Bagaimanapun setakat ini, tiada kakitangan PDC yang terlibat dengan kesalahan rasuah," katanya.