PELUANG pemain sensasi, Leroy Sane untuk menyertai Jerman beraksi pada Piala Dunia di Qatar bulan depan mencetuskan tanda tanya.
Ia berikutan pemain lincah Bayern Munich itu mengalami kecederaan otot paha ketika menang 5-0 ke atas Freiburg, Ahad lalu, umum kelab itu.
Situasi itu menimbulkan kesangsian dalam kem Jerman mengenai peluang Sane untuk sembuh dan menjalani proses pemulihan.
Bayern berkata, otot belakang paha kirinya koyak dan tidak memberi jangkaan bila dia akan kembali beraksi.
Bagaimanapun, media Jerman menjangkakan Sane akan tersisih untuk tempoh tiga minggu.
Sane turut menjaringkan satu gol dan membuat satu bantuan jaringan ketika menewaskan Freiburg.
Menjelang Piala Dunia bulan depan, Jerman bagaimanapun belum mengumumkan barisan pemainnya.
Mereka diundi dalam Kumpulan E bersama Sepanyol, Costa Rica dan Jepun di Piala Dunia Qatar dari 20 November hingga 18 Disember.
Mereka akan memulakan kempen menentang Jepun pada 23 November.
Bayern akan berkunjung ke Augsburg untuk perlawanan Piala Jerman pada Rabu sebelum menentang Hoffenheim pada aksi Bundesliga pada Sabtu.
Minggu depan mereka akan menentang Barcelona pada kempen Liga Juara-Juara.