SENAI - Pemandu lori yang ditahan reman susulan insiden kemalangan ngeri membabitkan lima kenderaan di Kilometer 45.7 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan, dekat Kulai, Sabtu lalu disahkan tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
Menurut Ketua Polis Daerah Kulai, Superintenden Tok Beng Yeow, ujian saringan air kencing yang dilakukan turut mendapati lelaki berusia 37 dari Shah Alam itu bebas daripada pengaruh dadah.
"Setakat ini, kita dapati dia tidak ada rekod jenayah dan ujian air kencingnya juga negatif. Apa pun, dia kini masih dalam tahanan polis untuk siasatan lanjut," katanya dihubungi pada Selasa.
Untuk rekod, pemandu lori berkenaan ditahan pada Ahad kerana disyaki menjadi punca kepada kemalangan berkenaan yang turut mengakibatkan dua individu rentung setelah kenderaan dinaiki terbakar.
Salah seorang mangsa dikenal pasti sebagai Nurul Nazihah Kamalul Arifin, 28, manakala identiti seorang lagi mangsa masih belum dapat dikenal pasti.
Jenazah Nurul Nazihah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Temenin Lama, Kota Tinggi, kira-kira jam 3.40 petang pada Ahad.
Sementara itu, Beng Yeow berkata, setakat ini mangsa yang belum dapat dikenal pasti itu dipercayai merupakan seorang lelaki.
Jelas beliau, ia berdasarkan kenyataan daripada sebuah keluarga yang datang ke hospital membuat pengecaman berikutan anak mereka hilang dalam waktu yang sama.
"Semalam (Isnin), ada keluarga yang datang ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim untuk membuat pengecaman.
"Sampel ujian asid deoksiribonukleik (DNA) mereka juga sudah diambil dan keputusan akan diketahui dalam tempoh dua minggu," katanya.