DAP Pulau Pinang kekal tanding tujuh kerusi Parlimen

Iklan
Chow Kon Yeow

GEORGETOWN - DAP Pulau Pinang akan kekal bertanding di tujuh kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) seperti yang dipertandingkan dalam PRU sebelum ini.

Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, tiada penambahan atau perubahan pada bilangan kerusi Parlimen untuk parti itu di Pulau Pinang.

Iklan
Iklan

"Saya sudah sebut sebelum ini, kita akan serah senarai (nama calon) kepada pusat dan akan diteliti sebelum membuat pengumuman. Kita jangka akan serah senarai itu dalam minggu ini juga.

"Kita kekal dengan tujuh kerusi Parlimen seperti PRU yang lepas. Tiada penambahan atau perubahan bilangan kerusi untuk DAP di Pulau Pinang," katanya pada sidang akhbar di Pejabat Ketua Menteri di Komtar pada Selasa.

Iklan

Sebelum ini, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, DAP akan mengumumkan senarai calonnya yang akan bertanding pada PRU15 minggu depan.

Anthony berkata, pengumuman calon Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada parti itu dijangka diadakan secara berperingkat mengikut kawasan dan negeri.

Iklan

Kata beliau lagi, jumlah kerusi yang akan diagihkan kepada setiap parti dalam Pakatan Harapan (PH) akan diumumkan pada 20 Oktober ini tetapi pengumuman calon itu terpulang kepada parti masing-masing.

Dalam pada itu, Kon Yeow menambah, DAP pusat dijangka mengumumkan calon parti itu untuk semua negeri sebelum hari penamaan calon.

"Pusat akan umumkan nama calon dua hingga tiga hari sebelum hari penamaan calon.

"Mereka (pusat) akan umum untuk semua negeri," katanya.

Kon Yeow bagaimanapun enggan mendedahkan butiran mengenai senarai calon yang akan diserahkan kepada DAP Pusat untuk diumumkan.

DAP pada PRU14 sebelum ini bertanding di kerusi Parlimen Bagan, Bukit Mertajam, Batu Kawan, Bukit Bendera, Tanjong, Jelutong, Bukit Gelugor.