SHAH ALAM - Central Sugars Refinery’s (CSR), menyampaikan tajaan RM10,000 kepada Sekolah Kebangsaan Seksyen 9 (SKS 9) sebagai menyokong agenda kelestarian sekolah tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutif Central Sugars Refinery’s (CSR), Mohamad Zuki Wan Abdullah berkata, pemilihan sekolah itu sebagai rakan kongsi hijau CSR bertepatan dengan objektif kelestarian syarikat.
Menurutnya, SKS 9 aktif dalam inisiatif kelestarian dan diiktiraf sebagai Sekolah Lestari oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor.
"Pencapaian terbaharu mereka sebagai antara tiga buah sekolah terbaik yang menerima Anugerah Alam Sekitar 2022 di Selangor mencerminkan dedikasi terhadap usaha itu,” katanya menerusi kenyataan.
Menerusi program itu, 30 sukarelawan CSR bersama guru dan pelajar bekerjasama mengindahkan lagi susun atur taman sedia ada, mengedarkan dan menanam pokok buah-buahan untuk mempertingkatkan program hijau di sekolah berkenaan.
Mohamad Zuki berkata, melalui inisiatif ini, selain menghijaukan infrastruktur sekolah, CSR berharap dapat meningkatkan kesejahteraan mental dan fizikal serta pengalaman pembelajaran pelajar.
Ujarnya, dari masa ke masa, CSR akan menggerakkan agenda Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) secara lebih konsisten untuk melindungi dan menjaga alam sekitar melalui penglibatan warga kerjanya terutama bersama golongan muda.