PORT DICKSON - UMNO Port Dickson tiada masalah sekiranya penyandang kerusi Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar bertanding di Parlimen itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Ketua UMNO Bahagian Port Dickson, Datuk Mohd Faizal Ramli bagaimanapun berkata, ia terserah kepada pucuk pimpinan parti yang membuat keputusan.
Menurutnya, apa yang menjadi harapan UMNO Port Dickson ketika ini agar kerusi tradisi milik MIC itu diberi kepada UMNO.
"Kita merasakan pada PRU15, kemungkinan akan ada sedikit peluang yang lebih baik jika UMNO diberi peluang untuk mewakili BN di Port Dickson," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada program Master Chef Koperasi sempena 100 Tahun Gerakan Koperasi di Akademi DRB HICOM pada Selasa.
Menurutnya, walaupun peluang untuk BN menang kerusi itu 50-50, namun jika betul calonnya, maka peluang untuk menang itu lebih cerah.
Ini kerana katanya, kajian dilakukan pihaknya mendapati, kebanyakan pengundi mahu BN menerajui semula kerajaan.
"Tapi jika parti sudah putuskan kerusi itu kekal milik MIC, kita akan tetap beri sokongan bagi memastikan kemenangan kepada BN," ujarnya.
Mengikut rekod, sebelum ini Ketua Umum Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson dengan majoriti 23,560 undi.
Sebelum itu pada PRU14, calon PKR, Datuk Danyal Balagopal Abdullah menang dengan majoriti 17,710 menewaskan calon BN Datuk VS Mogan.