SEPERTI diramal, pelumba pasukan Jelajah Dunia-Movistar Team, Ivan Ramiro Sosa Cuervo dari Colombia dinobatkan pemenang Jersi Kuning selaku juara keseluruhan perlumbaan Petronas Le Tour de Langkawi (LTdL) 2022 pada Selasa.
Tampil menyarung Jersi Kuning selaku pendahulu keseluruhan sejak mengungguli Peringkat 3 dari Putrajaya ke Genting Highlands, Sosa merakamkan masa 25 jam 54 minit dan 00 saat (s) bagi meninggalkan pencabar terdekatnya, Hugh John Carthy daripada EF Education-Easypost dengan perbezaan 23s.
Kejayaan Sosa itu sekali gus mengakhiri penantian pelumba Colombia dan benua Amerika Selatan untuk meraih gelaran juara keseluruhan LTdL selepas kali terakhir dilakukan pelumba Team Nippo-De Rosa, Julian David Arredondo pada esidi 2013.
"Saya sudah menjangkakan perlumbaan hari ini sangat laju, sama seperti semalam. Saya dan rakan-rakan sepasukan saya sukar untuk mengejar pelumba si kelompok hadapan, tetapi pada akhirnya kami berjaya mendapat keputusan yang diinginkan.
"Kejayaan ini satu pengakhiran yang baik buat saya musim ini kerana ia dapat meningkatkan keyakinan saya untuk menempuhi musim baharu nanti," katanya kepada pemberita sejurus tamat perlumbaan.
Perlumbaan Peringkat 8 itu dengan jarak sepanjang 115.9km yang bermula dan berakhir di Pekan Kuah menyaksikan pelumba Burgos-BH, Alexander Molenaar muncul juara setelah mencatatkan 2:25.37s diikuti pelumba Alpecin-Deceuninck, Jason Osborne dan Juan Sebastian Molano Benavides daripada UAE Team Emirates.
"Selepas beberapa kali mencuba akhirnya saya dapat bergelar juara peringkat di Langkawi. Ia satu kejayaan yang cukup istimewa apabila dapat memenangi salah satu peringkat perlumbaan LTdL. Kerja keras saya selama ini berbaloi," ujar Molenaar.
Jersi Hijau selaku Raja Pecut diraih juara Peringkat 6, Erlend Blikra daripada Uno-X Pro Cycling Team yang mengumpul 49 mata bagi meninggalkan pencabar terdekatnya, Max Kanter (Movistar Team) dengan perbezaan empat mata.
"Saya harus berterima kasih kepada rakan-rakan sepasukan kerana banyak membantu, bermula di Peringkat 1. Kejayaan meraih Jersi Hijau ini tidak dapat dicapai tanpa bantuan mereka, jadi mereka juga harus diberikan kredit," jelas Blikra.
Dalam pada itu, Movistar Team menepati ramalan awal selaku pasukan berstatus Jelajah Dunia apabila muncul pasukan terbaik keseluruhan manakala TSG turut cemerlang apabila mengungguli kategori pasukan terbaik Asia pada edisi ke-26 kali ini.
Keputusan
Peringkat 8 LTdL 2022 (Kuah, Langkawi Loop)
Pendahulu Keseluruhan (Jersi Kuning)
1. Ivan Ramiro Sosa Cuervo (Movistar Team) 25:54.00s
2. Hugh John Carthy (EF Education Easypost) 25:54.23s
3. Torstein Traeen (Uno-X Pro Cycling Team) 25:55.47s
Pelumba Terbaik Asia (Jersi Putih)
1. Jambaijamts Sainbayar (Terengganu Polygon Cycling Team) 25:56.32s
2. Andrey Zeits (Astana Qazaqstan Team) 25:56.33s
3. Ariya Phounsavath (Thailand Continental Cycling Team) 26:02.23s
Raja Pecut (Jersi Hijau)
1. Erlend Blikra (Uno-X Pro Cycling Team) 49 mata
2. Max Kanter (Movistar Team) 45 mata
3. Gleb Syritsa (Astana Qazaqstan Team) 39 mata
Raja Bukit (Jersi Merah)
1. Muhammad Nur Aiman Mohd Zariff (Terengganu Polygon Cycling Team) 29 mata
2. Jambaijamts Sainbayar (Terengganu Polygon Cycling Team) 29 mata
3. Ivan Ramiro Sosa Cuervo (Movistar Team) - 25 mata
Pasukan Pendahulu Keseluruhan
1. Movistar Team - 70:28.42s
2. EF Education - Easypost - 70:32.51s
3. Uno-X Pro Cycling Team - 70:34.32s
Pasukan Terbaik Asia
1. Terengganu Polygon Cycling Team - 77:46.27s
2. Thailand Continental Cycling Team - 77:50.36s
3. Team Ukyo - 78:35.24s