IPOH - Penceramah terkemuka, Datuk Mohd Kazim Elias menyifatkan kes kehilangan Mohammad Ashraf Hassan, 29, sebagai satu ujian bukan sahaja kepada ahli keluarga tetapi seluruh rakyat Malaysia.
Beliau berkata, ujian itu untuk mengetahui tahap keimanan manusia sama ada tetap bergantung harap kepada ALLAH atau meyakini ramalan-ramalan yang dibuat segelintir pihak.
Menurutnya, dalam tempoh kehilangan mangsa yang masuk hari ke-18 ini, dilihat banyak pihak tampil membuat andaian dan firasat sendiri hinggakan sebahagiannya berunsur syirik dan khurafat.
"Saya lihat di Facebook terlalu ramai yang membuat ramalan, ada yang mengatakan mangsa sudah berkahwin di alam sana, dia hidup tetapi disembunyikan dan ada juga yang sudah membantu dengan bertarung dengan jin.
"Saya khuatir jika berlaku satu keadaan kita lebih percaya pada perkara seperti ini sedangkan dalam perkara-perkara ghaib yang mengetahui hanya ALLAH," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas pertemuan yang dibuat bersama ahli keluarga Mohammad Ashraf di Pusat Pendidikan Al Barakah, semalam.
Mohd Kazim berkata, pihaknya telah mengesyorkan kepada ahli keluarga untuk menolak pelawaan pengamal perubatan yang menggunakan ritual bercanggah dengan hukum syarak.
Katanya, keadaan itu bukan sahaja tidak membantu, malah mungkin menjadi penyebab doa orang ramai agar mangsa ditemui, tidak dimakbulkan Allah.
"Mungkin ada hikmahnya mengapa Ashraf ini belum ditemui, jika ditemukan sekarang akan adalah orang-orang mendakwa itu adalah hasil usahanya apatah lagi jika yang dilakukan itu bercanggah dengan hukum. Saya rasa semua orang akan percaya dan pergi berubat dengan orang itu.
"Jika benar nak berunding, lakukan dengan cara yang betul menerusi perawatan Islam, bukannya dengan benda pelik-pelik...InsyaALLAH doa kita akan dimakbulkan," katanya.
Beliau turut menyarankan ahli keluarga untuk meneruskan solat hajat.
Jelasnya, selain berikhtiar dengan cara dibenarkan syarak, ahli keluarga juga boleh berbuat infak dengan memberi sedekah atau jamuan makan kepada anak yatim dan fakir miskin.
"Moga dengan berbuat kebaikan-kebaikan, Allah akan makbulkan doa semua yang mahukan Ashraf ditemukan segera," katanya.
Mohd Kazim yang kini dalam lawatan kerja selama enam hari di Turki menyatakan kesediaan untuk meninjau lokasi kehilangan mangsa.
"Balik dari Turki nanti, jika mangsa masih belum ditemui, InsyaALLAH saya akan turun ke kawasan, kita lihat dan bantu mana yang boleh," katanya.