TIDAK lama lagi kita akan mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Kali pertama rakyat kita mengundi adalah pada tahun 1955, satu-satunya pilihan raya sebelum negara mencapai kemerdekaan.
Jika dicongak, sudah 67 tahun usia kita meraikan amalan demokrasi dalam menentukan tampuk pemerintahan negara.
Kalau diukur dalam bentuk manusia, usia lebih 60 tahun itu sudah ramai yang bergelar datuk dan nenek di negara kita.
Ironinya, sejauh mana tempoh waktu panjang itu dapat mencerminkan kematangan rakyat Malaysia dalam meraikan mandat yang kini sekali lagi dikembalikan kepada kita?
Ambil contoh dua insiden yang berlaku dalam tempoh siri ‘pemanas badan’ PRU15 yang sudah berlangsung di segenap pelosok negara.
Kejadian simbah cat di kediaman rasmi Menteri Besar Kedah, Seri Mentaloon yang terletak di Jalan Anak Bukit, Pantai Johor, jelas suatu bentuk provokasi murahan pada musim pilihan raya.
Dalam kejadian itu, sebahagian besar papan tanda dan pagar di pintu masuk Seri Mentaloon dikotori dengan cat berwarna merah serta biru.
Entah siapalah dalangnya, masih belum diketahui dan pihak polis sedang menjalankan siasatan.
Sementara di Muar, Johor pula, ceramah mega dibarisi pimpinan tertinggi Pakatan Harapan (PH) dan parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) diganggu sekumpulan ‘mat motor’.
Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang sedang menyampaikan ucapan ketika itu sempat ‘membahasakan’ kumpulan berkenaan.
"Saya tak ada masa nak lawan dengan mereka kerana saya di sini nak bela orang Muar dan bukannya nak biar mereka (rakyat Muar) susah dan sengsara. Tak apa biarkan,” kata anak muda berusia 30 tahun itu.
Amaran beliau, anak muda jangan menggadaikan maruah hingga sanggup bergelar pencacai.
Waima siapa pun pelakunya, insiden di kedua-dua negeri itu jelas mencerminkan rendahnya moral kita dalam berpolitik.
Itu belum lagi kita sebut pentas ceramah jadi ‘medan perang’ tuduh-menuduh dan tolonglah jangan ada lagi cerita dalam kain dijaja musim kempen nanti.
Sekali lagi, jika dihitung dengan angka, kita sepatutnya berasa malu masih dikongkong cara politik murahan seperti itu!