Transformasi bola sepak Indonesia bermula bersama FIFA

Iklan
Infantino (kanan) menyampaikan jersi cenderahati Joko Widodo semasa kunjungan di Istana Presiden di Jakarta. - Foto AFP

PRESIDEN Indonesia, Joko Widodo menerima kunjungan Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino untuk membincangkan hala tuju arena bola sepak negara itu susulan tragedi yang berlaku di Stadium Kanjuruhan, di Malang, Jawa Timur.

Pertemuan selama dua jam di Istana Merdeka itu turut membincangkan secara terperinci aspek pengurusan stadium, keselamatan, perlawanan dan penyokong.

Iklan
Iklan

"Transformasi bola sepak Indonesia akan bermula bersama FIFA yang akan mempunyai pejabat di sini sehingga semuanya berjalan lancar,” kata Joko Widodo, yang dikenali mesra sebagai Jokowi dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Infantino menegaskan FIFA sedia bekerjasama rapat dengan kerajaan, Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan Persatuan Bola Sepak Indonesia (PSSI) untuk mereformasi bola sepak Indonesia.

Iklan

Usaha ini penting memandangkan Indonesia akan menganjurkan Piala Dunia Bawah 20 Tahun (B-20) FIFA 2023, selepas pembatalan edisi 2021 akibat pandemik Covid-19.

Pada 8 Oktober, Jokowi mengesahkan Indonesia tidak akan dikenakan hukuman oleh FIFA susulan tragedi 1 Oktober di Stadium Kanjuruhan yang menyaksikan seramai 133 penyokong maut akibat rusuhan dan rempuhan apabila penyokong memasuki padang.

Iklan

Kekalahan pasukan tuan rumah Arema FC buat kali pertama di laman sendiri dalam tempoh 23 tahun semasa pertemuan dengan pasukan Persebaya Surabaya mencetuskan kemarahan penyokong.

Situasi bertukar tegang, memaksa pihak keselamatan melepaskan gas pemedih mata menyebabkan beribu-ribu penyokong berasak-asak untuk keluar dari padang melalui beberapa pintu sehingga menyebabkan rempuhan.