BUKIT SENTOSA - Sepasang batu nisan tertera nama bayi lelaki berusia lapan bulan ditemui di hadapan sebuah rumah di tingkat bawah Pangsapuri Seri Tanjung, pagi semalam.
Peniaga makanan, Saqira Ismail, 22, berkata, batu nisan masih mempunyai kesan tanah merah diletakkan di kawasan berumput bersama sehelai baju t-shirt berbelang warna merah, putih dan kelabu.
Menurutnya, terdapat lakaran nama seorang bayi berusia lapan bulan dengan bapa yang dilahirkan pada 29 Mac 2014 dan meninggal dunia pada 3 September tahun yang sama.
"Pagi tadi dalam pukul 6.45 pagi ayah nak keluar rumah dan bila buka pintu, nampak ada dua objek di atas rumput tempat letak kenderaan.
"Bila ayah menghampiri baharu jelas rupa-rupa adalah sepasang batu nisan bersama t-shirt yang mungkin digunakan untuk pegang batu nisan itu.
"Ayah beritahu ahli keluarga yang lain dan saya sendiri panik sebab tak tahu nak buat apa dan akhirnya saya alihkan ke tepi jalan," katanya.
Saqira berkata, dia berbuat demikian bagi mengelak kanak-kanak di pangsapuri itu rasa takut sekiranya ternampak batu nisan tersebut ketika mahu ke sekolah.
Menurutnya, penemuan batu nisan itu di muat naik di laman sosial sebagai usaha memaklumkan kejadian untuk perhatian waris kepada bayi berkenaan.
Sementara itu, Pegawai Masjid As Salam Bukit Sentosa, Muhammad Firdaus Zulkipli berkata, batu nisan tersebut diserahkan seorang individu kepada pihak masjid.
"Pemeriksaan rekod data dan di kawasan tanah perkuburan mendapati batu nisan ini bukan dari Tanah Perkuburan Islam Bukit Sentosa.
"Namun waris kepada bayi yang meninggal ini sudah tampil dan membabitkan Tanah Perkuburan Islam Sungai Choh," katanya.