Mangsa banjir di Langkawi meningkat kepada 61 orang

Iklan
Anggota APM Langkawi memantau dan membantu memindahkan barangan mangsa banjir di daerah itu pada Rabu. - Foto Ihsan APM Kedah

ALOR SETAR – Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Langkawi semakin meningkat dengan jumlah terkini seramai 61 orang setakat jam 8 pagi Rabu.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Langkawi, Ahmad Shahfikri Darus berkata, peningkatan itu susulan 12 mangsa terbaharu dipindahkan ke PPS Dewan Syifa di Padang Matsirat, dekat sini.

Iklan
Iklan

Beliau memaklumkan, terdapat seramai 43 mangsa banjir di Langkawi pada jam 8 pagi, Selasa sebelum ia meningkat kepada 49 orang pada jam 4 petang.

"Jumlah mangsa berlindung di pusat pemindahan terbabit makin bertambah kepada 53 mangsa pada jam 10 malam Selasa sebelum meningkat hingga merekodkan 61 mangsa pada Rabu.

Iklan

"Ketika ini, kesemua 61 mangsa daripada 17 keluarga termasuklah 27 lelaki dewasa, 22 wanita, tujuh kanak-kanak lelaki dan lima kanak-kanak perempuan berlindung di PPS Dewan Syifa yang dibuka sejak Ahad lepas,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau mendapati, beberapa kawasan terlibat seperti Kampung Atas dan Kampung Limbung Putra di mukim Padang Matsirat, Kampung Bukit Penyumpit di mukim Kuah, Kampung Bukit Kemboja di mukim Bohor dan Kampung Bohor Masjid di mukim Kedawang.

Iklan

Sementara itu, Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Mejar (PA) Mohd Muaz Mohd Yusoff memberitahu, Sungai Melaka di Padang Matsirat, Langkawi telah melepasi paras bahaya berdasarkan info Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Menurut beliau, paras air telah mencecah 4.11 meter (m) melepasi tahap bahaya 3.4 m dengan trend menaik dikesan pada jam 6 pagi.

"Sungai Melaka di Bukit Kemboja, Langkawi dan Sungai Pendang di Pekan Pendang, Pendang pula telah melebihi paras amaran,” katanya.

Mohd Muaz memaklumkan, dua sungai di Kedah iaitu Sungai Anak Bukit di Jambatan TAR, Kota Setar dan Sungai Kedah di Jalan Lebuhraya, Kota Setar telah melebihi paras waspada.