KOTA BHARU - Kerusi roda khas sumbangan Universiti Sains Malaysia (USM) menjadi pembakar semangat buat remaja kurang upaya (OKU), Amalin Qistina Amlaki, 13, untuk meneruskan kelangsungan hidup.
Anak bongsu daripada empat beradik itu bersyukur serta berterima kasih kepada USM dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan kerana memilihnya sebagai salah seorang penerima kerusi roda khas mengikut keperluannya bagi memudahkan pergerakan.
"Saya telah menggunakan kerusi roda berkuasa bateri ini sejak darjah satu lagi kerana tangan saya memang lemah dan doktor tidak menggalakkan saya melakukan banyak pergerakan," katanya pada Majlis Penyerahan Kerusi Roda dan Alatan Mobiliti Murid Berkeperluan Khas Sekolah-Sekolah Negeri Kelantan yang berlangsung di Dewan Utama, Kampus Kesihatan USM di sini, pada Selasa.
Majlis tersebut dirasmikan Pengarah Kampus USM, Profesor Dr Shaharum Shamsuddin. Hadir sama, Ketua Penolong Pengarah, Sektor Pendidikan Khas, Intan Izzati Md Hashim dan Ketua Unit Transformasi OKU merangkap Pengerusi Bersama Kluster OKU USM, Dr Mohd Zulkifli Abdul Rahim.
Pada majlis tersebut, 16 kerusi roda dan 15 alatan mobiliti disampaikan kepada 21 murid berkeperluan khas dari 16 sekolah seluruh Kelantan.
Menurut Amalin Qistina, dia banyak menggunakan kerusi roda untuk bergerak di dalam kawasan sekolah berbanding di rumah.
"Sudah enam tahun saya menggunakannya dan ia sangat membantu untuk bergerak walaupun kadang-kala terpaksa memerlukan pertongan guru," katanya.
Dalam pada itu, dia turut berpesan kepada pelajar OKU lain supaya tidak mudah putus asa dengan kekurangan diri, sebaliknya tanamkan sifat sabar dan berusaha hingga berjaya.
Sementara itu, Dr Shaharum berkata, USM telah menjalin kerjasama dengan JPN Kelantan dalam membantu pelajar OKU di negeri ini.
"Kita serius dalam membantu golongan berkeperluan khas termasuklah membuka Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK).
"Kita juga menyediakan kumpulan khas yang terdiri daripada pakar bagi menguruskan PDK tersebut," katanya.