KUALA LUMPUR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) menahan tiga individu bersama barangan tiruan bernilai RM721,650 dalam serbuan di pusat pemborong Jalan Kenanga, semalam.
Timbalan Pengarah Penguatkuasa (Cawangan Operasi Khas) KPDNHEP, Rosli Ahmad berkata, serbuan dilakukan ke atas tiga premis yang dikenal pasti beroperasi sebagai sindiket jualan barangan tiruan hasil risikan yang dibuat selama sebulan.
Menurutnya, pelbagai barangan pakaian berjenama tiruan Adidas, Puma, Levis, Nike, Tommy Hilfiger, Gucci dan Burberry yang dipercayai untuk edaran sekitar Lembah Klang, Pahang, Terengganu dan Perak dirampas dalam serbuan berkenaan.
"Serbuan dilakukan pada jam 4.30 petang oleh sepasukan pegawai KPDNHEP WPKL. Hasil serbuan telah menyita 28,626 unit barangan tiruan bernilai RM721,650, satu unit komputer riba, wang tunai bernilai RM5,000 serta pelbagai dokumen.
"Tiga individu iaitu dua lelaki Bangladesh yang merupakan pekerja dan pengurus serta seorang lelaki tempatan, pemilik premis berumur lingkungan 20 hingga 30-an ditahan dan perintah reman dikeluarkan bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah untuk siasatan lanjut,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Tambah beliau, ketiga-tiga premis berkenaan dipercayai telah beroperasi sejak enam bulan hingga setahun lalu.
"Barangan tiruan yang dijual diimport dari China dan Bangladesh dijual dengan harga RM10 hingga RM30. Hasil siasatan awal mendapati mereka mampu menghasilkan jualan sehingga mencecah RM200,000 sebulan.
"Kes ini disiasat bawah Seksyen 8 Akta Perihal Dagangan 2011 iaitu kawalan atau jagaan, barangan yang digunakan perihal dagangan palsu merujuk kepada cap dagang berdaftar,” katanya.
Katanya lagi, KPDNHEP akan terus mengambil tindakan tegas terhadap peniaga yang menjual barangan tiruan termasuk pemantauan terhadap peniaga atas talian.
"Untuk rekod, bagi tahun ini sebanyak 39 kes melibatkan barangan tiruan direkodkan di WPKL dengan rampasan bernilai lebih RM1.5 juta,” katanya.