Ketua UMNO Bahagian Beruas tolak jadi calon PRU15

Iklan
Azhar (tengah) mengumumkan menolak sebarang pencalonan bertanding pada PRU15 ketika sidang akhbar di Pejabat UMNO Bahagian Beruas pada Rabu.

BERUAS - Ketua UMNO Bahagian Beruas, Datuk Dr Azhar Ahmad mengumumkan menolak sebarang pencalonan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menurut Azhar, keputusan yang disifatkan sebagai berjiwa besar itu dibuat bagi memberi peluang kepada muka baharu bertanding pada PRU kali ini.

Iklan
Iklan

Jelasnya, biarpun menjadi tradisi Ketua UMNO Bahagian Beruas akan diletakkan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Beruas, kali ini perkara itu tidak akan berlaku.

"Keputusan ini dibuat setelah menimbang sehalus-halusnya dan berfikir semasak-masaknya. Saya nak memudahkan pimpinan untuk meletakkan calon muka baharu pada PRU15.

Iklan

"Saya tak mahu ada perebutan dan perpecahan. Biarlah pimpinan tentukan calon yang boleh menang bertanding di DUN Pengkalan Baharu ini," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di Pejabat UMNO Bahagian Beruas di sini pada Rabu.

Azhar yang juga Pengerusi BN Parlimen Beruas berkata, peranan yang akan dimainkan hanyalah sebagai Pengarah Pilihan Raya di peringkat Parlimen dan Ketua UMNO Bahagian.

Iklan

Jelasnya, keputusan untuk menolak pencalonan itu juga bagi memberi peluang agar lebih ramai pemimpin dapat dilahirkan oleh UMNO sekali gus memberi manfaat kepada masyarakat setempat.

"Keputusan ini tidak dipaksa sesiapa. Pimpinan parti juga telah saya maklumkan tentang keputusan ini beberapa bulan yang lalu sebelum Parlimen dan DUN dibubarkan," katanya.

Dalam pada itu, Azhar memaklumkan UMNO Bahagian Beruas sebelum ini sudah menghantar tiga nama calon iaitu Ketua UMNO Bahagian, Timbalan Ketua UMNO Bahagian, Azman Noh dan Naib Ketua UMNO Bahagian, Abdul Razak Ismail.

Bagaimanapun katanya, kini hanya dua nama sahaja yang boleh dipertimbangkan pimpinan untuk diletakkan sebagai calon bertanding di kawasan DUN Pengkalan Baharu bagi memastikan keharmonian UMNO bahagian.

Ditanya sama ada UMNO Bahagian Beruas menerima pencalonan individu luar bertanding di situ, Azhar menjelaskan, rundingan perlu dilakukan jika parti mahu meletakkan nama selain yang dicadangkan.

Beliau yang juga Ahli Dewan Negara berkata, perkara itu penting bagi memastikan kelancaran jentera pilihan raya parti.