SHAH ALAM - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Dr Abd Latiff Ahmad memberitahu bahawa masih belum terlambat untuk Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri untuk memecat 12 Jemaah Menteri Perikatan Nasional (PN) yang masih menyandang jawatan tersebut ketika ini.
Kenyataan itu disuarakannya berhubung perkataan ‘pecat menteri’ yang dilemparkan Ismail Sabri baru-baru ini ekoran tindakan menteri-menteri PN menulis surat kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengenai isu pembubaran Parlimen.
Ujar Abd Latiff, meskipun kenyataan tersebut dilihat hanya gurauan semata-mata, namun ia tidak wajar diperkatakan.
"Memang kita tahu Perdana Menteri mempunyai kuasa lantik dan pecat, namun kami pun ada maruah. Tidak perlu pecat, kami pun boleh letak jawatan lebih awal.
"Kami masih lagi anggota kabinet sementara. Masih belum terlambat untuk dipecat.
"Mungkin Perdana Menteri Kesembilan boleh mencipta sejarah dengan memecat anggota kabinet dalam masa 'kecederaan'," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Pada Isnin lalu, Ismail Sabri dalam Program Solidariti Kestabilan dan Kemakmuran BN di Dewan Perdana Kompleks UMNO dekat Bagan Datuk, Perak ada memberi bayangan bakal membubar kabinet menteri-menteri jika ada yang tidak bersetuju dengannya mengenai keputusan pembubaran Parlimen.
Sementara itu, Abd Latiff ketika mengulas mengenai pembubaran Parlimen berkata, ia tidak pernah dibincangkan antara Ismail Sabri bersama anggota kabinet yang lain.
Jelas beliau, Ismail Sabri disifatkan berteka-teki dalam memberikan tarikh mengenai pembubaran Parlimen.
"Malah pada pagi Jumaat, 7 Oktober 2022, seorang menteri kanan bertanyakan ‘bila nak bubar’? Perdana Menteri kesembilan itu masih berteka-teki dengan anggota kabinet lain.
"Jika Perdana Menteri menyatakan hasrat membubarkan Parlimen secara terus terang dan ikhlas, saya percaya anggota kabinet akan bersetuju dan memberi mandat kepada beliau,” ulasnya.