CIP KPS platform lahir generasi pengguna bijak

Iklan
Rosol (tengah) bersama pemenang dan peserta CIP KPS selepas menyempurnakan Perasmian Penutup CIP KPS Tahun 2022 Peringkat Kebangsaan di Kuala Terengganu pada Rabu.

KUALA TERENGGANU – Program Cabaran Interaktif Pengguna Kelab Pengguna Sekolah (CIP KPS) akan menjadi platform terbaik pembelajaran interaktif yang efektif dalam usaha membentuk generasi pengguna muda bijak, berilmu dan bertanggungjawab.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Rosol Wahid berkata, usaha itu seiring dengan pepatah ‘melentur buluh biarlah dari rebung’ apatah lagi dalam berdepan situasi ekonomi global yang tidak menentu sekarang.

Iklan
Iklan

Menurutnya, budaya kepenggunaan matang, rasional dan berdaya upaya harus dilestarikan bermula sekarang dengan menggembeleng pengguna muda sebagai ejen perubahan yang dilengkapi ilmu kepenggunaan seperti sosial, kewangan, ekonomi dan persekitaran semasa.

"Saya yakin satu hari nanti isu inflasi dan harga barang di negara kita akan dapat diatasi dengan tuntas melalui kuasa pengguna yang jitu, tanpa perlu kerajaan membelanjakan peruntukan subsidi terlalu besar yang boleh beri kesan kepada ekonomi negara,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Perasmian Penutup CIP KPS Tahun 2022 Peringkat Kebangsaan yang melibatkan penyertaan sebanyak 634 sekolah terdiri daripada 2,536 pelajar dari seluruh negara di sini pada Rabu.

Pada majlis itu, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kidurong, Sarawak telah diumumkan sebagai juara manakala tempat kedua dan ketiga dimenangi SMK Sri Nangka, Tuaran, Sabah serta Sekolah Menengah Sains Alam Shah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Iklan

CIP KPS dianjurkan oleh KPDNHEP dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) selama dua hari bermula Selasa dan format pertandingan ini adalah berbentuk cabaran interaktif berkonsepkan explorace yang menguji kecekapan, pengetahuan dan amalan kepenggunaan.

Sehingga 30 September lalu katanya, sebanyak 2,030 sekolah telah menubuhkan KPS melibatkan penyertaan seramai 69,178 sebagai ahli KPS.

Sementara itu, Rosol memaklumkan hanya kira-kira 10 peratus daripada 811,000 pengguna yang berdaftar sebagai Rakan KPDNHEP aktif di seluruh Malaysia ketika ini.

Jelas beliau, walaupun jumlah yang berdaftar adalah sangat ramai namun peranan mereka dalam kerja sukarela itu masih kurang menyerlah kerana 90 peratus lagi rakan KPDNHEP adalah tidak aktif.

"Kita sedang melihat untuk memperkasakan semula gerakan ini dengan beberapa penambahbaikan dan nafas baharu termasuk cadangan menyediakan beberapa insentif seperti e-wallet atau saguhati bersesuaian.

"Peranan rakan KPDNHEP ini sangat besar impaknya kerana ia boleh bantu meringankan beban kerajaan terutamanya 2,200 penguat kuasa kementerian untuk pantau hal berkaitan kepenggunaan di seluruh negara,” katanya.