Bersatu atau Pas tandingi kerusi Besut diputuskan esok

Iklan
Rosol Wahid

KUALA TERENGGANU – Teka teki sama ada kerusi Parlimen Besut bakal ditandingi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) atau Pas pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan diketahui Khamis.

Timbalan Pengerusi Bersatu Terengganu, Datuk Rosol Wahid berkata, keputusan tersebut dijangka diputuskan dalam mesyuarat Perikatan Nasional (PN) yang akan dihadiri pemimpin tertinggi parti.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sebelum ini Bersatu Terengganu berharap supaya diberikan dua kerusi pada PRU15 dan setakat ini, Parlimen Hulu Terengganu hampir pasti ditandingi calon Bersatu.

"Kita minta dua kerusi dan satu lagi difahamkan Parlimen Besut tapi ia masih dalam perundingan dan dijangka diputuskan esok,” katanya selepas merasmikan penutup Cabaran Interaktif Pengguna Kelab Pengguna Sekolah (CIP KPS) Tahun 2022 Peringkat Kebangsaan di sini pada Rabu.

Iklan

Bagaimanapun Rosol yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berkata, beliau bersifat terbuka dan menyerahkan kepada parti untuk menentukan sama ada akan mempertahankan kerusi Hulu Terengganu atau sebaliknya.

Pada PRU14, Rosol yang bertanding atas tiket BN menang dengan majoriti 2,868 menewaskan calon Pas, Muhyiddin Abdul Rashid dan calon Bersatu, Datuk Razali Idris.

Iklan

Rosol kemudian memutuskan keluar daripada UMNO dan menyertai Bersatu pada 14 Disember 2018.