PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Gerakan Tanah Air (GTA) akan mengumumkan senarai calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) minggu depan.
Pengerusi Pejuang, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kebolehan dan tahap pendidikan antara perkara yang diambil kira sebelum seseorang itu dinamakan sebagai calon.
"Di Malaysia ini, orang yang tiada pelajaran pun boleh jadi menteri, tiada limit... Kalau nak jadi budak pejabat kena lepas standard empat. Kalau nak jadi perdana menteri tak payah lulus apa-apa," katanya sinis.
Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat GTA di pejabatnya dekat sini pada Rabu.
Menurutnya, GTA akan meneruskan penerangan kepada ahli gabungan dan rakyat mengenai konsep yang dibawa.
"Konsep GTA ini bukan seperti parti politik lain, sebab itu kita perlu perjelas supaya tidak ada yang keliru.
"Bukan hanya terhadap pemimpin GTA, tetapi orang ramai agar tidak tersalah pilih penyangak atau penyamun menjadi kerajaan," katanya.
Ditanya adakah PH atau UMNO musuh sebenar GTA, Dr Mahathir berkata:
"Kita bermusuh dengan UMNO kerana kalau mereka menang, akan habis rosak negara," katanya.
Beliau berkata, sekiranya GTA menjalinkan kerjasama dengan PH, gabungan itu berkemungkinan hilang undi daripada kaum Melayu.
"PH ini masalahnya orang Melayu ramai tidak suka kepada DAP," katanya.
Sementara itu, Dr Mahathir menafikan laporan portal bahawa beliau pernah meminta pertolongan Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor ketika menjawat jawatan Perdana Menteri ketujuh.
"Tidak pernah," katanya.
Sebelum ini, sebuah portal melaporkan Dr Mahathir didakwa meminta pertolongan dengan Tengku Adnan kerana tidak tidak tahan dengan Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP.