SHAH ALAM - Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 17 November ini untuk keputusan permohonan kebenaran semakan kehakiman dua badan bukan kerajaan (NGO) bagi mencabar tindakan Kerajaan Negeri Selangor yang membenarkan pembangunan di Hutan Simpan Bukit Cherakah.
Peguam Rajesh Nagarajan yang mewakili Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam (Peka) dan Persatuan Rimba Komuniti Shah Alam (SACF) ketika dihubungi Bernama berkata, Hakim Shahnaz Sulaiman menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan pihak NGO dan kerajaan negeri pada prosiding yang berlangsung secara dalam talian.
Peka dan SACF selaku pemohon memfailkan permohonan itu dengan menamakan Kerajaan Selangor, Majlis Eksekutif negeri, Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri serta Jabatan Tanah dan Galian Petaling sebagai responden.
"Mahkamah juga membenarkan permohonan kami (Peka dan SACF) untuk melanjutkan penggantungan sementara tindakan Kerajaan Selangor itu sehingga 17 November,” katanya.
Prosiding itu turut disertai peguam Nur Irmawatie Daud mewakili kesemua responden serta peguam Lau Kee Sern, R. Ganapathy dan John Wong masing-masing mewakili YCH Development, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) serta Restu Mantap Sdn Bhd selaku pencelah.
Pada 3 Ogos lepas, Peka dan SACF memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman bagi mencabar keputusan responden atas alasan, kesemua pihak terbabit tidak rasional membenarkan pembangunan di atas tanah seluas 406.22 hektar itu melalui pelaksanaan keputusan yang telah dibuat 22 tahun lepas selain menyifatkannya sebagai ‘lapuk.’
Mereka juga memohon pengisytiharan mengenai keperluan untuk mengadakan siasatan awam berkaitan pembangunan hutan simpan itu seperti yang termaktub di bawah Seksyen 11 dan 12 Enakmen Akta Perhutanan Negara (Pindaan) 2011. - Bernama