Pertemuan UMNO, Pas hanya libatkan empat pemimpin

Iklan
Ahmad Fadhli

SHAH ALAM - Perbincangan antara UMNO dan Pas pada Jumaat lalu hanya melibatkan empat pemimpin kedua-dua parti yang hadir dan bukan tujuh pemimpin seperti yang tular di media sosial sebelum ini.

Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, kehadiran Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan timbalannya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dalam pertemuan dengan pimpinan UMNO minggu lalu hanya membincangkan syarat yang ditetapkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Iklan
Iklan

"Saya bersaksi bahawa, Presiden Pas dan Timbalan Presiden Pas telah bercakap benar, tidak berbohong, dan tidak pernah memungkiri janji.

"Timbalan Presiden Pas pula hadir sebagai saksi pertemuan, dan mencatit butiran perbincangan. Tidaklah perlu saya dedahkan syarat-syarat yang dikemukakan,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya pada Rabu.

Iklan

Pada Jumaat, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkongsi satu gambar pertemuan antara Presiden dan Timbalan Presiden kedua-dua parti, UMNO dan Pas pada Rabu iaitu sehari sebelum parti itu akhirnya membuat keputusan kekal bersama Perikatan Nasional (PN).

Asyraf Wajdi berkata, ia membabitkan penawaran 47 kerusi boleh dimenangi Pas yang ditawarkan oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sekiranya parti itu menyertai Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Iklan

Bagaimanapun, gambar terbaharu didedahkan oleh Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir di Facebook dan dikongsikan Asyraf menunjukkan terdapat tiga lagi pimpinan kedua-dua parti itu yang turut serta dalam pertemuan berkenaan.

Dalam pada itu, Ahmad Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas turut mendakwa foto yang ditularkan oleh Asyraf Wajdi seolah-olah beliau hadir dalam perjumpaan itu diambil 10 minit sebelum perbincangan bermula.

Menurutnya, Asyraf Wajdi tidak berada dalam bilik tersebut ketika perbincangan dilakukan antara empat pemimpin berkenaan.

"Selepas itu tiga orang yang lain pun beredar, tinggal lah empat orang pimpinan. Presiden dan Timbalan Presiden Pas dan UMNO, berbincang sekitar satu jam.

"Kekanda saya Asyraf Wajdi juga berada di luar sepanjang perbincangan,” ujarnya.

Tambahnya, dalam mesyuarat tersebut, Abdul Hadi diberikan tempoh singkat iaitu Jumaat 14 Oktober untuk memuktamadkan keputusannya.

"Tidak timbul soal kerusi, tidak timbul soal Perdana Menteri.

"Yang dimusyawarahkan adalah soal hukum, apakah maslahahnya, apakah mudharatnya. Yang timbul adalah soal nasib, bukan nasib kerusi dan pimpinan (siapa kena dakwa (charge) esok, siapa kena dakwa (charge) lusa), tetapi nasib agama, bangsa dan negara," jelasnya.