8 beranak tinggal sehelai sepinggang

Iklan
Juhar sekeluarga tinggal sehelai sepinggang apabila rumahnya di Lorong Haji Kadir Kampung Bukit terbakar.

TUMPAT - Lapan beranak tinggal sehelai sepinggang selepas kediaman mereka musnah dalam kebakaran di Lorong Haji Kadir, Kampung Bukit, di sini pagi tadi.

Mangsa, Juhar Zakaria, 41, berkata dia menyedari bau asap pada jam 5.15 pagi dan terkejut dengan bunyi api marak membakar dinding rumahnya.

Iklan
Iklan

"Saya terus bangun dan kejutkan isteri serta enam anak yang sedang tidur. Kami terus bergegas keluar dari rumah untuk menyelamatkan diri," katanya.

Bagaimanapun, Juhar berkata, dia sempat masuk semula ke dalam rumah yang sedang terbakar itu semata-mata untuk mengambil dokumen penting keluarganya.

Juhar melecur di lenggan apabila cuba menyelamatkan dokumen ketika rumahnya terbakar di Lorong Haji Kadir, Kampung Bukit.

Iklan

Tindakan beraninya itu menyebabkan lengan kirinya melecur namun dia tetap bersyukur tragedi itu tidak meragut nyawa ahli keluarganya.

Menurutnya, api marak dengan cepat hingga memusnahkan segala harta benda milik mereka. Selain kehilangan barangan berharga, dua buah motosikal dan basikal milik anak-anak juga tidak sempat diselamatkan.

"Kami tinggal sehelai sepinggang, semuanya musnah terbakar dalam sekelip mata. Buat masa ini kami sekeluarga terpaksa menumpang di rumah sepupu," katanya.

Iklan

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Wakaf Bharu, Mohd Azamli Nordin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.25 pagi.

Katanya, seramai 12 anggota bomba dengan dua jentera dari Balai Bomba Tumpat dan Wakaf Bharu bergegas ke lokasi memadam kebakaran tersebut.

"Punca dan kerugian masih dalam siasatan," katanya.