Rakyat Malaysia alami strok di Korea Selatan selamat pulang

Iklan
Saifuddin membantu Azhar berhubungan dengan kakaknya di Kuantan semasa menyambut kepulangan rakyat Malaysia yang mengalami serangan strok di Korea Selatan baru-baru ini di KLIA pada Rabu. - Foto Bernama

SEPANG - Rakyat Malaysia, Azhar Mohamad, 37, yang menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Chungbuk National University, Cheonjung, Korea Selatan, akibat serangan strok pada 31 Ogos lalu, tiba di tanah air, pada Rabu.

Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah menyambut ketibaan Azhar dari Seoul di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 5.15 petang dengan ditemani dua adik perempuannya, Fazillah, 35, dan Norul Hanim, 34, serta sepupunya, Noradilawaty Zainol, 44.

Iklan
Iklan

Azhar, yang bekerja sebagai operator kilang di Korea Selatan selama lima tahun, kemudian dibawa menaiki ambulans ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAF) di Kuantan bagi menjalani rawatan lanjut.

Saifuddin, ketika ditemui, berkata Bahagian Konsular, Kementerian Luar menerima makluman dari Malawakil Seoul memaklumkan Azhar berada di Republik Korea sedang mendapatkan rawatan di hospital berkenaan pada 31 Ogos.

Iklan

Menurutnya, pihak konsular mengadakan lawatan ada 22 September lepas dan susulan itu, Malawakil telah memberi bantuan sewajarnya kepada Azhar dan ahli keluarganya.

Katanya, bantuan yang diberikan termasuk menyelaras urusan dengan pihak hospital, syarikat penerbangan serta pengeluaran Sijil Kecemasan (EC) bagi membolehkan kepulanganya ke tanah air.

Iklan

Saifuddin berkata kementeriannya akan mencari jalan bagi membantu Azhar melunaskan sejumlah besar daripada kos rawatan melebihi RM280,000 dengan sebahagiannya sudah dilunaskan oleh ahli keluarga dan sumbangan orang ramai.

Beliau menasihatkan warga Malaysia di luar negara untuk mendaftar keberadaan mereka dengan Pejabat Perwakilan Malaysia yang berhampiran bagi memudahkan menghulurkan bantuan sekiranya berhadapan sebarang kecemasan. - Bernama