HABUAN wang tunai lumayan menanti para pemain Kuala Lumpur City FC (KL City) sekiranya skuad warga kota itu berjaya memastikan kejuaraan Piala Konfederasi Bola Sepak (AFC) 2022 berada dalam kabinet kelab Liga Super tersebut musim ini.
Itu jaminan Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Khalid Samad bagi menyuntik motivasi dalam kalangan pemain The City Boys menjelang perlawanan akhir Piala AFC menentang kelab Oman, Al Seeb di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.
"Kita faham dan akan imbangi bonus kemenangan pada setiap perlawanan. Sebelum ini para pemain KL City mendapat bonus ketika menjuarai Piala Malaysia, begitu juga sekiranya mereka berjaya memenangi Piala AFC.
"Jumlah itu kita akan umumkan kemudian, namun paling penting para pemain perlu mempamerkan aksi yang terbaik di padang pada perlawanan akhir itu nanti,” katanya ketika sidang akhbar di pejabat KLFA, Cheras, Kuala Lumpur pada Rabu.
The City Boys mencipta sejarah tersendiri apabila mara ke pentas final Piala AFC buat pertama kali sekali gus berpeluang mengulangi pencapaian Johor Darul Ta'zim (JDT) pada edisi 2015 sebelum ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif KL City, Stanley Bernard ketika ditanya berkenaan persiapan venue perlawanan akhir berkata, semua berjalan dengan baik termasuk aspek keselamatan pada hari perlawanan.
"Saya tahu sekarang ini merupakan musim tengkujuh jadi kita tidak boleh agak cuaca pada hari perlawanan.
"Tetapi kita sudah mengambil beberapa langkah proaktif bagi memastikan keadaan padang berada pada tahap yang baik seperti tidak mengadakan latihan di venue pertandingan sehari sebelum perlawanan.
"Kami juga akan memastikan keselamatan para penonton dan penyokong dalam keadaan selamat pada hari perlawanan dan tiada isu penyokong casual akan berlaku di venue nanti,” ujar Stanley.