SHAH ALAM - Parti Amanah Negara (Amanah) berharap bekas Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mempertahankan kerusi yang disandangnya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.
Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, walaupun sebelum ini pucuk pimpinan parti sudah mengambil maklum hasrat dan niat baiknya untuk memberi laluan kepada calon muda, namun atas faktor calon UMNO, pemimpin parti mahu beliau mempertahankannya sekali lagi.
"Setelah UMNO mahu meletakkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz sebagai calon mereka di Parlimen Kuala Selangor, kami pimpinan Amanah dan juga Pakatan Harapan (PH) mahu Dr Dzulkefly bertanding untuk mempertahankan kerusi Kuala Selangor ini sekali lagi.
"Ini kerana bagi kami, PRU15 ini adalah sangat kritikal dan serius. Setiap kerusi adalah penting untuk dimenangi oleh PH,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Dalam pada itu Salahuddin yakin Pengarah Strategi Amanah itu mampu mengekalkan kerusi berkenaan berdasarkan gerak kerja yang dilakukan selama ini.
"Rakyat Kuala Selangor tahu kegigihan beliau membantu rakyat di samping tugasan di peringkat negeri Selangor dan juga sebagai menteri di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dahulu.
"Saya mendoakan kejayaan beliau untuk pilihan raya kali ini dan kita sama-sama sekali lagi melaksanakan amanah rakyat untuk negara,” katanya.
Pada Mei lalu, bekas Menteri Kesihatan itu menyatakan hasrat mengundur diri dan memberi laluan kepada calon muka baharu untuk bertanding pada PRU15.
Beliau menyifatkan hasrat itu sebagai perhitungan peribadi selepas menjadi wakil rakyat di kawasan itu selama dua penggal.