SHAH ALAM - Kementerian Dalam Negeri (KDN) digesa mengemukakan nota bantahan kepada Israel dan membawa isu penglibatan Israel yang melakukan terrorism di negara ini ke medan antarabangsa.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, isu penglibatan ejen perisikan dari Israel masuk ke Malaysia dan menculik warga Palestin yang berada di negara ini adalah sangat serius.
Menurutnya, tindak tanduk Israel dalam isu penculikan tersebut jelas tidak menghormati kedaulatan negara Malaysia.
"Malah dari satu segi seolah-seolah mencabar kedaulatan negara dan merupakan ancaman kepada negara kita.
"Bayangkan orang awam biasa yang tidak berdosa boleh tercedera atau berlakunya kematian dengan operasi haram di negara kita, jika terus berterusan operasi haram mereka.
Laporan sebuah media tempatan mendakwa ejen Mossad telah memasuki negara ini dalam usaha mengesan dan menculik rakyat Palestin yang mereka percaya sebagai aset Briged Hamas al-Qassam, namun Polis Diraja Malaysia (PDRM) dikatakan berjaya membongkar perkara tersebut apabila dua rakyat Malaysia ditahan kerana dipercayai terbabit dalam kes penculikan warga Palestin akhir September lalu.
Wanita tempatan berusia 30 tahun dipercayai dilatih sebagai penyiasat persendirian di Perancis sebelum direkrut oleh ejen Mossad sebelum tahun 2018, turut disyaki menjadi dalang rangkaian perisikan Israel di negara ini.
Susulan laporan tersebut, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, dakwaan berkenaan akan diteliti sebelum sebarang tindakan lanjut diambil.
Dalam pada itu, Zahid berkata, KDN sepatutnya membuat kenyataan yang lebih menyeluruh kerana KDN mempunyai mekanisme yang efisien dalam sistem keselamatan negara.
Ujarnya, penegasan aspek keselamatan dan kedaulatan negara amat penting bagi memastikan tidak ada negara berani melakukan provokasi dan membuat onar di negara ini.
"Sudah tentu 32 juta rakyat Malaysia sedang tertunggu-tunggu langkah kerajaan bagi menangani situasi ini dan ia tidak berlaku lagi pada masa akan datang selain pihak yang terlibat dengan perisikan asing yang berniat jahat diambil tindakan yang tegas tanpa kompromi.
"Setinggi-tinggi syabas diucapkan kepada PDRM yang berjaya menumpas penculikan warga asing oleh agen perisikan asing," jelas beliau.