PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 19 November depan sebagai Hari Pengundian bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) serentak dengan Pilihan Raya Kecil (PRK) N66 Bugaya.
Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh turut memaklumkan penamaan calon ditetapkan pada 5 November.
"Bagi pengundian awal pula adalah pada 15 November," katanya menerusi sidang akhbar di ibu pejabat SPR di sini pada Khamis.
Dengan penetapan tarikh itu, sebanyak 14 hari diperuntukkan untuk parti-parti politik berkempen.
Sebelum ini, tempoh berkempen pada PRU14 adalah 11 hari dan 15 hari bagi PRU13 manakala PRU12 pula adalah 13 hari.
Menurutnya, SPR telah menerima permakluman rasmi daripada Yang di-Pertua Dewan Rakyat berhubung dengan pengisytiharan pembubaran Parlimen penggal yang ke-14 oleh Yang di-Pertuan Agong pada 11 Oktober.
"SPR juga telah menerima surat permakluman berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) yang Ke-14 bagi Pahang dan Perlis bertarikh 14 Oktober serta Perak bertarikh 17 Oktober daripada speaker DUN masing-masing," katanya.
Beliau berkata, permakluman rasmi turut diterima SPR daripada Speaker DUN Sabah berhubung kekosongan kerusi DUN Bugaya pada 12 Oktober berikutan Proklamasi Darurat (No.3) dan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No.3) dibatalkan.
"Sehubungan itu, SPR telah mengadakan mesyuarat khas dan memutuskan PRU15 hendaklah diadakan bagi mengisi kekosongan 222 kerusi Dewan Rakyat, serta 42 kerusi DUN Pahang, 15 DUN Perlis dan 59 DUN Perak.
Abdul Ghani berkata, urusan permohonan semua kategori undi pos luar negara dan dalam negara telah dibuka bermula daripada 10 Oktober untuk PRU15 dan daripada 13 Oktober bagi PRK DUN N66 Bugaya, Sabah.
"Tarikh tutup bagi kategori 1A iaitu petugas SPR, polis, tentera dan petugas media adalah 2 November.
Bagi kategori 1B warganegara yang berada di luar negara adalah ditutup 23 Oktober manakala kategori 1C pula 26 Oktober," katanya.
Ujar Abdul Ghani, berdasarkan Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) sehingga 9 Oktober, seramai 21,173,638 pengundi layak mengundi.
"Jumlah itu terdiri daripada 20,905,366 orang pengundi biasa, 146,737 orang tentera serta pasangan, 118,794 orang polis serta pasangan Polis Pasukan Gerakan Am (PGA) dan 2,741 orang Pengundi Tidak Hadir Luar Negara," katanya.
Semakan maklumat pengundian untuk mengetahui maklumat pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan mereka melalui portal semakan di pautan https://mysprsemak.spr.gov.my atau hubungi Hotline SPR di talian 03-88927018 / 03-88880040 atau melalui aplikasi MySPR Semak. Semakan mulai 31 Oktober.