ALOR SETAR - Seorang petani dihadapkan ke Mahkamah Majistret pada Khamis atas pertuduhan membunuh anak lelakinya berusia tiga bulan yang didakwa dilakukan pada dua minggu lalu di sebuah rumah di Alor Setar.
Pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa kepada Muhammad Nasyran Zamzury, 28 di hadapan Masjistret Siti Norhidayah Mohd Noor dan tertuduh faham dengan tiada pengakuan direkodkan.
Berdasarkan pertuduhan, bapa kepada dua anak itu melakukan pembunuhan dengan menyebabkan kematian ke atas Muhammad Annas Muhammad Nasyran antara 4 Oktober lebih kurang jam 9 malam hingga 10 Oktober jam 1.30 petang.
Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Kampung Teluk Jawa, Sungai Lintang, Mukim Padang Hang, dekat sini.
Kes didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun keseksaan dan jika sabit kesalahan hendaklah dihukum mati.
Siti Norhidayah kemudian menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 30 Januari 2023 sementara menunggu laporan bedah siasat, kimia dan juga perubatan dengan tertuduh tidak ditawarkan jaminan.
Pada 11 Oktober lalu, Sinar Harian melaporkan seorang bayi lelaki berusia tiga bulan meninggal dunia dipercayai didera bapanya.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, bapa kandung mangsa itu ditahan di belakang sebuah rumah di Kampung Sungai Lintang Teluk Jawa, Mukim Padang Hang, dekat sini.
Menurutnya, lelaki berusia 28 tahun tersebut adalah suspek utama dan direman selama tujuh hari sehingga 17 Oktober depan untuk membantu siasatan.
Sementara itu dalam mahkamah sama, Muhammad Nasyran juga berdepan tiga lagi pertuduhan dengan salah satu daripadanya memasukkan dadah jenis methamphetamine ke dalam dirinya sendiri tanpa kebenaran pihak berwajib.
Kesalahan itu didakwa dilakukan kira-kira pukul 7 petang, 10 Oktober lalu di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar.
Tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 itu dengan tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 18 Disember 2022, sementara menanti laporan patologi.
Bagi pertuduhan seterusnya, dia mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan mencederakan bekas teman wanitanya yang kini berusia 26 tahun pada 2019.
Kesalahan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan itu didakwa dilakukan kira-kira pukul 7 pagi, 5 Mei 2019 di sebuah bilik sewa di Jalan Meranti Off, Jalan Putra, Alor Setar.
Kes tersebut ditetapkan untuk disebut semula pada 20 November depan sementara menanti serahan semula dokumen dengan tiada jaminan ditawarkan.
Bagi pertuduhan terakhir pula, mahkamah menjatuhkan hukuman 14 bulan penjara selepas tertuduh mengaku bersalah sengaja mencederakan isterinya, Siti Nur Kamalia Kamaruddin, 22.
Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 4 Oktober lalu kira-kira pukul 5 petang di sebuah rumah di Kampung Teluk Jawa, Mukim Padang Hang, Alor Setar.
Pertuduhan dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 326A kanun sama.
Kesemua pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Negeri, Nurfatin Mastura Asri manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Zuriyah Mohd Nordin bagi pertuduhan terakhir dihadapi iaitu mencederakan isterinya.