MALAYSIA gagal mara ke suku akhir Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Remaja Dunia 2022 selepas tewas 1-4 kepada pilihan utama Indonesia dalam perlawanan Kumpulan A di Santander, Sepanyol.
Pasukan negara bermula baik di Paalcio de Deportes de Santander itu apabila perseorangan negara Justin Hoh menghadiahkan mata pertama dengan menewaskan Alwi Farhan 21-18, 21-18.
Iklan
Iklan
Bagaimanapun Indonesia berstatus juara bertahan kembali garang menerusi Ester Nurumi Wardoyo yang menjinakkan Siti Nurshuhaini Azman, 21-18, 22-24, 21-14, dalam pertarungan mendebarkan.
Percaturan negara menampilkan beregu lelaki kedua Choi Jian Sheng-Bryan Jeremy Goonting, gagal menjelmakan keputusan positif apabila ditewaskan Muh Putra Erwiansyah-Rayhan Nur Fadillah, 8-21, 10-21.
Ketinggalan 1-2 tidak menggoyangkan semangat beregu wanita negara Ong Xin Yee-Carmen Ting yang tampil semangat juang tinggi sebelum tewas 15-21, 19-21 kepada Meilysa Puspita Sari-Rachel Allessy Rose.
Indonesia melengkapkan kemenangan bergaya apabila beregu campuran Rafi Ramanda-Azahra Putri Dania dipaksa bermandi peluh sebelum menjinakkan Wong Vin Sean-Lai Ting Cen, 21-15, 21-13.
Keputusan itu menyaksikan Malaysia muncul naib juara Kumpulan A akan berdepan India naib juara Kumpulan B dalam playoff penentuan tempat ke-9 hingga 16 pada Khamis.