KUALA LUMPUR - Lagak seorang wanita melakukan aksi 'Superman' bersama rakan samseng jalanannya di Lebuhraya Kuala Lumpur - Seremban memakan diri selepas diberkas polis, Ahad lalu.
Difahamkan, aksi dengan menaiki motosikal jenis Yamaha 135LC itu turut dirakam penunggang wanita itu dengan menggunakan kamera yang dilekatkan di topi keledarnya.
Lebih ngeri, aksi Superman wanita itu turut dilakukannya dengan memotong beberapa buah kereta di lebuh raya berkenaan.
Aksi berbahaya geng yang dipercayai dalam perjalanan ke sebuah restoran terkenal di Seremban, Negeri Sembilan itu dikesan anggota dan pegawai Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman menerusi Op Khas Samseng Jalanan kira-kira jam 11.35 malam.
Menurut sumber, tiga penunggang termasuk wanita itu dikesan melakukan aksi Superman, zig-zag dan bersaing sesama sendiri.
"Kesemua mereka berjaya ditahan di hadapan restoran di Seremban, Negeri Sembilan.
"Mereka yang ditahan terdiri daripada dua lelaki berusia 16 dan 22 tahun manakala wanita itu berusia 21 tahun. Kesemua motosikal jenis Yamaha Y15ZR dan Yamaha 135LC telah disita untuk siasatan lanjut," katanya pada Khamis.
Menurut sumber, ketiga-tiga penunggang itu dibawa ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban untuk siasatan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, dalam operasi pada Khamis, sembilan samseng jalanan berjaya diberkas selepas melakukan aksi berbahaya di Lebuhraya Kuala Lumpur - Seremban.
"Kesemua penunggang berusia 17 hingga 23 tahun yang dipercayai adalah dari kumpulan berasingan itu ditahan di lokasi berlainan.
"Mereka telah dibawa ke BSPT IPD Kajang dan BSPT IPD Nilai untuk tindakan lanjut," ujarnya.