PRU15, PRK Bugaya telan belanja RM1.01 bilion

Iklan
Abdul Ghani (kiri) mempengerusikan Mesyuarat Khas Urusan PRU15 dan PRK DUN N.66 Bugaya, Sabah di Menara SPR. -Foto Bernama

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan Pilihan Raya Kecil (PRK) N66 Bugaya yang ditetapkan 19 November depan dianggarkan menelan belanja RM1.01 bilion.

Kos tersebut meningkat lebih sekali ganda berbanding RM500 juta pada PRU14 lalu.

Iklan
Iklan

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Ghani Salleh dalam kenyataannya memaklumkan, seramai 363,515 orang petugas akan dilantik bagi mengendalikan proses PRU15 dan PRK DUN N66 Bugaya.

"Sebanyak 8,958 buah pusat mengundi biasa yang mengandungi 38,348 saluran ditetapkan," katanya pada Khamis.

Iklan

Menurutnya, bagi pengundian awal, sebanyak sebanyak 578 pusat mengundi dengan 970 saluran digunakan.

Beliau berkata, SPR turut menawarkan kepada mana-mana agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) atau pihak yang berminat untuk menjadi pemerhati pilihan raya bagi melihat perjalanan proses PRU15 bermula pada hari penamaan calon sehingga keputusan pilihan raya diumumkan.

Iklan

"Mereka dibenarkan untuk membuat pemerhatian seperti di pusat penamaan calon, pusat mengundi, tempat pengiraan undi dan pusat penjumlahan rasmi undi serta perlu mematuhi kesemua syarat-syarat pelantikan yang telah ditetapkan oleh SPR," katanya.

Abdul Ghani berkata permohonan untuk menjadi pemerhati pilihan raya telah dibuka pada 11 Oktober lalu dan ditutup 21 Oktober.

"Permohonan masih boleh dikemukakan kepada SPR melalui emel pemerhati@spr.gov.my. Untuk maklumat lanjut, sila layari https://www.spr.gov.my," katanya.

Dalam pada itu Abdul Ghani menggalakkan pengundi supaya keluar menunaikan tanggungjawab mereka pada hari mengundi.

"SPR akan melaksanakan kempen 'Jom Kita Undi` melalui pelbagai saluran media termasuk di media elektronik, media sosial, hebahan melalui siar raya dan pemasangan kain rentang di lokasi-lokasi strategik tumpuan awam dan tempat-tempat lain yang bersesuaian," katanya.