MELAKA - Pertunjukan akrobatik dan sarkas di negeri ini bakal merancakkan industri pelancongan Melaka dengan menyasarkan kehadiran 30,000 pelancong dalam tempoh sebulan.
Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan Melaka, Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, melihat kepada sambutan positif sejak penganjurannya bermula pada Sabtu lalu tidak mustahil persembahan dari artis luar negara itu akan dimasukkan dalam kalendar pelancongan negeri 2023.
Menurutnya, yakin usaha ini mampu menarik lebih ramai pelancong luar dari Melaka sama ada pelancong tempatan mahupun luar negara yang teruja menyaksikan persembahan selama lebih dua jam dan tempat yang boleh memuatkan 800 penonton dalam setiap persembahan.
Katanya, kerajaan negeri juga akan merancang untuk menjalinkan kerjasama dengan pihak berkenaan melalui salah satu anak syarikat Melaka untuk memperhebatkan promosi pertunjukan itu.
"Dengan kerjasama itu mungkin boleh lahirkan persembahan akrobatik artis dari Malaysia sendiri khususnya Melaka.
"Kita mengalu-alukan orang melaka dan pelancong luar Melaka untuk datang berhibur, bersantai dan bermalam di negeri ini sambil membawa anak-anak dan keluarga seperti menonton pertunjukan akrobatik dan sarkas," katanya.
Beliau kepada pemberita selepas menyaksikan pertunjukan Great British Circus di Dataran Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM) di sini pada malam Rabu.
Tambahnya, dengan pelbagai aktiviti pelancongan sepanjang tahun ini dapat mencapai sasaran lima juta pelancong ke Melaka pada tahun 2022.
Pertunjukan yang akan berakhir 13 November depan menawarkan harga tiket bermula antara RM25 hingga RM80 bagi dewasa dan kanak-kanak mengikut kategori.