Afrika Selatan bida tuan rumah Piala Dunia Wanita 2027

Iklan
Danny Jordaan - Foto: GettyImage
AFRIKA Selatan akan menghantar pegawainya ke New Zealand bagi mendapatkan sokongan dalam usaha negara itu membida menjadi tuan rumah Piala Dunia Wanita FIFA 2027, kata Persatuan Bola Sepak Afrika Selatan (SAFA) pada Rabu.

Undian Piala Dunia Wanita FIFA 2023 akan berlangsung di Auckland pada Sabtu.

Menurut SAFA mereka akan menghantar presidennya, Danny Jordaan untuk meyakinkan dunia bahawa negara itu mempunyai infrastruktur dan keupayaan untuk menganjurkan kejohanan itu, lapor Xinhua.

Jawatankuasa Konfederasi Sukan dan Olimpik Afrika Selatan (SASCOC) memberi surat sokongan kepada Jordaan untuk dikemukakan sebagai dokumen sokongan.

"Ia bertujuan untuk mengesahkan bahawa SAFA adalah ahli SASCOC dan ahli dalam kedudukan yang baik. Kami mengakui bahawa penganjuran sama ada kejohanan benua atau dunia di Afrika Selatan meletakkan negara pada tahap tertinggi di peringkat global dan menambah nilai kepada ekonomi. SASCOC sepenuhnya menyokong dan menghargai hasrat sedemikian dengan fokus menangani pembangunan dan perkembangan wanita," menurut kandungan surat itu

"Pencapaian Banyana Banyana (pasukan bola sepak wanita kebangsaan Afrika Selatan) baru-baru ini membuktikan komitmen daripada persekutuan anda. Oleh itu, kami berharap untuk SAFA membuat pembentangan terbaik dalam usahanya untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia Wanita FIFA 2027," tambahnya.

Chile, Itali, Amerika Syarikat, Mexico dan negara-negara Nordik (Denmark, Finland, Iceland, Norway, dan Sweden) telah menyatakan minat untuk menganjurkan Piala Dunia Wanita FIFA 2027, manakala bidaan Afrika Selatan dan bidaan bersama dari Belgium, Jerman dan Belanda telahpun disahkan. - Bernama