PRU15: Tempoh kempen 14 hari mencukupi

Iklan
Ismail Sabri ketika menyampaikan ucapan perasmian Karnival Usahawan Dan Koperasi Keluarga Malaysia (KUKKM) Negeri Selangor di Dataran Eco Grandeur, Puncak Alam pada Khamis. -Foto: Bernama
KUALA SELANGOR - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tempoh 14 hari berkempen bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) seperti yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) adalah mencukupi.

Naib Presiden UMNO itu berkata, adalah menjadi tanggungjawab setiap parti politik untuk membuat perancangan bagi memastikan tempoh yang diberikan SPR itu mencukupi untuk mereka berkempen bagi menghadapi pilihan raya.

"14 hari cukup. Dulu pun 14 hari, ada masa kurang dari 14 hari jadi parti-parti politik kena buat perancangan masing-masing untuk pastikan cukup masa 14 hari tersebut. Kalau terlampau lama orang mengadu juga terlalu lama, penat kerja dan macam-macam.

"Jadi SPR dah tentukan, jadi kita akur dengan SPR dan bekerja berdasarkan jumlah hari yang disediakan untuk berkempen,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Karnival Usahawan dan Koperasi Keluarga Malaysia Negeri Selangor di Puncak Alam pada Khamis.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Ghani pada Khamis mengumumkan 19 November sebagai tarikh pengundian bagi PRU15, penamaan calon pada 5 November manakala pengundian awal pada 15 November.

Berikutan itu, tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding pada 5 November sehingga jam 11.59 malam, 18 November.

Ditanya mengenai kerjasama UMNO dengan parti lain, Ismail Sabri berkata, soal kerjasama dengan parti lain adalah perkara besar yang akan diputuskan oleh Majlis Tertinggi UMNO dan fokus utama parti buat masa ini adalah untuk memenangi PRU15.

"Kita perlu menang PRU dulu, baru kita nak cakap soal nak gabung ke berunding dengan sesiapa," ujarnya.

Dalam pada itu Ismail Sabri, yang merupakan penyandang kerusi Parlimen Bera, berkata :"Saya nak bertanding di Bera tapi tunggu pengumumanlah."

Ismail Sabri yang turut ditanya media sama ada Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz akan dicalonkan untuk bertanding di kerusi Kuala Selangor, berkata calon-calon yang bertanding akan diumumkan Presiden UMNO atau pengerusi perhubungan negeri masing-masing. - Bernama