KOTA KINABALU - Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor mengingatkan pucuk pimpinan parti di peringkat Persekutuan supaya tidak menganggu senario politik di Sabah.
Beliau yakin bahawa tidak akan berlaku pertembungan antara GRS dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kerana persefahaman sudah diwujudkan sejak kerajaan itu ditubuhkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang lalu.
"Keadaan politik di Sabah ini agak berbeza sedikit, unik sikit. Di peringkat persekutuan dia lain sikit, di Sabah lain kerana di sini kerajaan GRS-BN.
"Kerana inilah persefahaman yang kita buat sebelum menghadapi PRN yang lalu dan selepas kita diberi mandat oleh rakyat pada PRN lepas, kita tubuhkan kerajaan GRS dan BN," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Konvokesyen Kolej Teknologi Yayasan Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini pada Khamis.
Beliau berkata demikian ketika ditanya bagaimana kerjasama antara GRS-BN setakat ini bagi menghadapi PRU15.
Tegas Ketua Menteri Sabah itu lagi, kerajaan yang dipimpinnya kini bersandarkan kepada persefahaman antara GRS dan BN sebelum ini.
"Ini juga diperkuatkan apabila kita mengadakan persefahaman dengan gabungan parti-parti GRS dan juga gabungan parti-parti dalam BN pada 8 Januari 2021, tiga bulan selepas kita membentuk kerajaan dan kita berpegang kepada ini.
"Saya telah nyatakan kepada pimpinan di peringkat persekutuan sama ada BN ataupun pimpinan Perikatan Nasional (PN) jangan ganggu, kita pegang kepada persefahaman dan janji ini. Sebab kita ada tiga tahun lagi untuk memerintah, buat apa gaduh.
"Kita mahu satu keadaan yang stabil, kita dapat merancang dan melaksanakan program-program di bawah inisiatif Sabah Maju Jaya (SMJ) dan mereka faham," katanya.
Tambah beliau lagi, menerusi persefahaman itu tidak akan ada pertembungan antara dua pihak dan harus menyokong calon masing-masing.
"Itu prinsip kerjasama, jadi kita mesti ada satu jajaran atau konsep politik di Sabah ini. Kita sudah lama bergaduh-gaduh ini, jadi saya harap tidak perlulah berlawan-lawan, janganlah pasang calon macam-macam.
"Kita dalam pilihan raya ini, musuh utama kita ialah pihak pembangkang, Parti Warisan (Warisan), DAP, Pakatan Harapan (PH) dan lain-lain. Jadi BN dan GRS satu blok kerajaan," tegasnya.