SEORANG pemimpin adalah orang yang mengetahui jalan, melewati jalan tersebut, dan menunjukkan jalan itu untuk orang lain. Setiap antara kita terlahir dengan bakat kepimpinan mengikut acuan dan persekitaran yang membentuk jatidiri dan peribadi.
Apa yang perlu adalah asahan yang konsisten di samping keupayaan memupuk semangat positif dan tidak mudah berputus asa sekiranya berhadapan dengan cabaran yang di luar jangkaan. Seperti yang disebut oleh ilmuan dalam bidang kepimpinan iaitu John Maxwell, pemimpin menjadi hebat bukan kerana kekuatannya, tetapi kerana kemampuannya untuk memberdayakan orang lain.
Pemimpin yang berketerampilan dan matang melihat senario dalam permasalahan secara makro dan bersasar. Ini kerana mengupayakan atau menggerakkan sesebuah organisasi sangat bergantung kepada cara seseorang pemimpin itu mempengaruhi anggotanya apatah lagi jika terpaksa berhadapan dengan karenah yang pelbagai.
Harus diingat kebolehan setiap anggota itu tidak sama. Oleh yang demikian sebagai orang yang memimpin, kebijaksanaan dalam mengenal pasti bakat akan dapat meletakan potensi yang sebenar di tempatnya. Kesampingkan hal-hal picisan yang boleh mengganggu emosi. Cabaran tidak akan berhenti dalam organisasi yang maju dan tidak statik.
Kepimpinan juga perlu disesuaikan mengikut zaman dan harus fleksibel berdasarkan keadaan. Membuat keputusan yang tergesa-gesa dan gopoh hanya akan membawa kesan buruk kepada organisasi sekali gus melunturkan kepercayaan pemegang taruh. Membina kepercayaan itu bukan sesuatu yang mudah.
Rasa percaya akan mempengaruhi cara seseorang membuat keputusan. Oleh kerana itulah sebarang keputusan yang ingin dilakukan harus dipertimbangkan baik dan buruk serta kesannya dalam jangkamasa panjang.
Selain daripada itu, kemahiran berkomunikasi adalah komponen paling penting untuk menjadi pemimpin yang berwibawa. Mendengar, memerhati, memahami dan kemudian membuat keputusan adalah ekosistem komunikasi yang perlu dipelihara. Jika mesej tidak dapat difahami atau gagal ditafsirkan oleh penerima maka seluruh organisasi terpaksa berdepan dengan kesannya.
Berpandangan jauh adalah ciri kepimpinan yang akan memberi nilai kepada masa hadapan sesebuah organisasi. Aspirasi perlu menjadi perkara pokok yang menentukan hala tuju organisasi. Tentu sekali dalam membuat keputusan, pemimpin juga tidak terkecuali daripada dipengaruhi oleh mereka yang mengambil kesempatan di atas kelemahan pemimpin. Kadangkala kerana pemikiran yang tidak terkehadapan, akan menutup banyak ruang dan peluang dalam memperkasakan organisasi.
Apa yang menjadi asas utama adalah sikap keterbukaan pemimpin menerima kritikan daripada anggota organisasi. Kebenaran selalunya amat pahit untuk diterima. Tetapi yang pahit itulah selalu menjadi penawarnya. Pemimpin yang berjiwa besar tidak gentar dengan caci dan kejian. Ini kerana sesorang yang ikhlas akan sentiasa mencari jalan untuk memperbaiki dirinya sendiri. Tegar pemimpin maka tegarlah organisasi pimpinannya. Jika rapuh jiwa pemimpin rapuhlah juga organisasi pimpinannya.
Justeru itu pemimpin harus berupaya mengadaptasi dengan perubahan dan kepelbagaian ‘warna’ dalam organisasinya. Pembentukan sinergi yang utuh terhasil daripada corak kepimpinan yang efektif. Mengendali manusia perlu ada seninya. Membentuk corak kepimpinan relevan perlu teliti gerak catannya. Memetik kata-kata Stephen Covey,"hari ini dunia jauh berbeza dan sentiasa berubah. Jika kita boleh membangunkan pemimpin yang boleh bertahan dan menerima perubahan zaman, maka kita boleh membangunkan sebuah pasukan dan organisasi yang hebat.”
* Dr Ahlam Abdul Aziz merupakan Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Komunikasi dan Media, Kolej Pengkomputeran, Informatik dan Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam.