Bekalan makanan cukup sempena Deepavali: Rosol

Iklan
Rosol Wahid (dua dari kanan) meninjau harga telur ayam pada majlis Pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Deepavali 2022 di sebuah pasaraya Kuala Berang pada Khamis. - Foto: Bernama

KUALA BERANG - [DIKEMAS KINI] Bekalan makanan dan keperluan pada musim perayaan Deepavali dijamin mencukupi, kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid.

Rosol berkata, jaminan tersebut diberikan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dalam mesyuarat yang diadakan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), baru-baru ini.

Iklan
Iklan

Katanya, barangan termasuk ayam dan telur ketika ini dilanda masalah kekurangan bekalan terutama di negeri pantai timur.

"Kita akui ada terima aduan mengenai kekurangan bekalan telur dan ayam di Terengganu dan Kelantan. Jadi kita harap MAFI akan dapat merealisasikan jaminan tersebut untuk kepentingan rakyat," katanya selepas pelancaran skim harga maksimum musim perayaan Deepavali 2022 di sini pada Khamis.

Iklan

Menurut Rosol, masalah kekurangan telur dan ayam di pantai timur dipercayai berpunca daripada kawalan harga maksimum yang terlalu lama oleh kerajaan dan sumber bekalan diperoleh dari pantai barat.

Sehubungan itu, beliau berharap Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi dapat bermesyuarat segera bagi membincangkan jalan penyelesaian bagi menangani isu yang membebankan rakyat itu.

Iklan

"Maklumat ini kita terima daripada industri yang mendakwa kerajaan mengawal harga terlalu lama. Ia menyebabkan industri terkesan sekali gus menyebabkan kemasukan bekalan ayam dan telur bermasalah.

"Kesannya paling ketara di pantai timur kerana sumber bekalan makanan protein ini datang dari pantai barat seperti Melaka, Johor dan Perak," katanya.

Dalam pada itu, sebanyak 14 barangan termasuk ayam hidup, ayam standard, ayam super, telur ayam gred A, telur ayam gred B, telur ayam gred C, dan daging kambing biri-biri import bertulang diumumkan sebagai barangan kawalan perayaan Deepavali berkuat kuasa pada 20 hingga 26 Oktober ini.

"Barangan lain yang turut disenaraikan ialah tomato, cili merah, kelapa biji, kelapa parut, bawang merah kecil, bawang merah besar import dan kacang dal," katanya. - Bernama