NILAI - Menyembunyikan dadah di dalam ruangan rahsia pada meja menjadi taktik terbaharu sindiket pengedaran dadah antarabangsa yang dikesan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Perkastaman/Cukai Dalam Negeri), Datuk Abdul Halim Ramli yang Menjalankan Tugas-Tugas (MTT) Ketua Pengarah Kastam Malaysia berkata, kegiatan itu terbongkar pada 13 Oktober lalu susulan pemeriksaan ke atas sebuah dagangan yang dijadualkan untuk dieksport ke sebuah negara Asia Timur.
Menurutnya, dalam pemeriksaan dilakukan pihaknya menemui 124.75 kilogram (kg) ketamin dengan nilai dianggarkan RM6.8 juta.
"Dagangan diikrarkan sebagai 'Table End Table' seberat 366kg dan pemeriksaan lanjut mendapati ia adalah dua palet mengandungi tiga perabot yang dibalut rapi bersama tiga kotak.
"Selepas balutan dibuka, didapati dua meja besi dan satu meja minum kayu di dalamnya.
"Hasil pemeriksaan lanjut dengan mengumpil bahagian atas meja mendapati wujud bahan berwarna putih di bawah jubin meja sebelum menemui bahan kristal jernih pada sisi kanan meja berkenaan," katanya pada sidang akhbar di Cawangan Narkotik Kastam di Kampung Jijan, Nilai di sini pada Khamis.
Menurutnya, siasatan awal mendapati, dagangan dibawa dari sebuah kawasan perindustrian di Selangor ke Johor Bahru sebelum dibawa ke gudang ejen penghantaran kargo udara di Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Tambah beliau, pihaknya percaya sindiket berkenaan didalangi warga asing dengan pembabitan warga Malaysia susulan penahanan dua lelaki tempatan berusia lingkungan 30 dan 40 tahun di lokasi sama ketika pemeriksaan dilakukan.
"Siasatan lanjut sedang dijalankan dan kita tidak menolak kemungkinan lebih ramai suspek akan ditahan. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.
Selain itu katanya, pada 12 Oktober lalu, pihaknya berjaya menemui dadah jenis methaphetamine dengan anggaran berat 3.75kg dianggarkan bernilai RM135,000.
Jelasnya, ia susulan kastam telah menyita bungkusan antarabangsa yang mengandungi dua jubah mandi cuba dihantar ke sebuah negara Asia Pasifik di hab kargo ejen penghantaran di KLIA, kira-kira 1.30 pagi.
"Jubah berkenaan dipercayai direndam dengan cecair yang dilarutkan methaphetamine sebelum dikeringkan dan suspek juga memalsukan alamat pengirim untuk mengelak daripada dikesan pihak berkuasa.
"Siasatan awal mendapati, barangan tersebut akan dieksport ke salah sebuah negara di rantau Oceania," katanya.