Terkejut lihat bumbung rumah terbang depan mata

Iklan
Mohd Ashri menunjukkan bumbung rumahnya yang diterbangkan ribut sejauh 100 meter dan tersangkut di tiang elektrik. (Keadaan dapur di rumah Mohd Ashri selepas bumbung rumah diterbangkan ribut.)

SHAH ALAM - Disangkakan hujan lebat hanya sementara, rupanya ribut pula melanda pada petang Rabu hingga menerbangkan bumbung hampir 20 buah rumah di Kampung Jalan Kebun, di sini.

Salah seorang mangsa, Mohd Ashri Rebu, 53, berkata, dalam kejadian 3.45 petang itu, dia dan keluarganya berada di gerai nasi ayam miliknya di hadapan rumah ketika menyaksikan bumbung rumahnya diterbangkan sejauh 100 meter.

Iklan
Iklan

"Saya rasa takut apabila menyaksikan bumbung rumah di bahagian dapur diterbangkan semuanya tak sampai lima minit.

"Rumah ini rumah peninggalan ayah. Adik-beradik semua tinggal di sekeliling rumah ini dan kami merasa sedih melihat keadaan rumah ini.

Iklan

"Saya gunakan wang simpanan untuk membaiki segera bumbung rumah ini yang dianggarkan sebanyak RM30,000 kerana dapur ini digunakan untuk menyediakan makanan berniaga," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Seorang lagi mangsa, Zaki Mohd Nor, 53, turut mengalami nasib sama apabila bumbung di bahagian dapur rumahnya diterbangkan ribut.

Iklan

"Dalam keadaan dibasahi hujan, saya yang sedang memotong ayam segera menyimpan makanan dan asingkan apa yang boleh dimakan," katanya yang tinggal di kampung berkenaan sejak 29 tahun lalu.

Keadaan dapur di rumah Zaki selepas bumbung rumah diterbangkan ribut pada petang Rabu.

Mangsa lain, Mohamad Zaini Ahmad, 57, berkata, kejadian ribut tersebut merupakan yang pertama berlaku sejak dia dan isteri tinggal di kampung berkenaan 30 tahun lalu.

"Pada waktu itu, bumbung stor terangkat. Jadi isteri minta saya azan, dan ribut pun reda.

"Tapi bila saya lihat ke luar rumah, bumbung rumah saya berada lebih 50 meter dari depan rumah.

"Apabila saudara-mara dan jiran tahu tentang perkara ini, mereka ziarah ke rumah dan ada yang berikan 'powerbank' kerana pihak TNB juga putuskan punca elektrik," katanya yang merupakan pesara kerajaan.

Mohamad Zaini menunjukkan bumbung rumahnya yang diterbangkan ribut pada petang Rabu.

Dalam perkembangan lain, Setiausaha Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Jalan Kebun, Mohd Yusoff Mustafa memaklumkan lebih 20 buah rumah terjejas akibat ribut yang melanda Kampung Jalan Kebun di sini pada petang Rabu.

Katanya, ia melibatkan beberapa kawasan seperti di Kampung Baru 1, Kampung Baru 2 dan sebahagiannya di Lorong Haji Kassim dan Lorong Misran.

"Anggaran kerosakan setiap rumah boleh mencecah RM10,000 melibatkan bumbung rumah, tapi setakat ini, tiada kecederaan dan tidak ada pemindahan mangsa dibuat.

"Kita sedang berusaha untuk membuat bancian bagi mendapatkan bantuan daripada Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) dan butiran mangsa juga akan dihantar kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS) supaya mereka dapat menyantuni mangsa," katanya.