JOHOR BAHRU - Johor menafikan terdapat telur ayam tercemar mengandungi bakteria yang ditolak Singapura, dijual semula di pasaran di negeri ini sebagaimana yang tular di media sosial baru-baru ini.
Exco Kesihatan dan Perpaduan negeri, Ling Tian Soon berkata, berdasarkan situasi sekiranya terdapat telur ayam tercemar di republik itu, ia tidak akan dijual sebaliknya akan terus dilupuskan.
Tambahnya, setakat ini, Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) belum menerima sebarang aduan daripada orang awam mahupun Jabatan Veterinar Negeri Johor (JVNJ) mengenai telur ayam tercemar dijual di sini.
"Tahap keselamatan di Singapura adalah lebih ketat berbanding di Malaysia. Saya nak maklumkan, sekiranya mengikut laporan daripada Singapura mungkin ada aduan telur kita tercemar, barang-barang itu tak pulang kepada Malaysia.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Pertandingan Koir Kebangsaan di Auditorium RTM Johor di sini pada Khamis.
Memetik laporan CNA pada Sabtu lalu, Agensi Makanan Singapura (SFA) mengarahkan telur yang diimport dari sebuah ladang di Malaysia ditarik balik selepas mengesan Salmonella Enteritidis (SE) dalam produk tersebut.
Baru-baru ini, tular di media sosial yang mengingatkan orang awam untuk berhati-hati sekiranya berlaku lambakan telur di pasaran di Johor Bahru.
Orang ramai turut diingatkan untuk tidak membeli telur 'reject' dari Singapura yang telah dicemari bakteria SE.
Tian Soon berkata, JVNJ akan mengambil langkah proaktif dengan lebih kerap membuat pemeriksaan susulan laporan telur tercemar tersebut.
"JVNJ telah mengambil langkah berjaga-jaga untuk lebih kerap lagi mengambil sampel dengan lebih banyak bagi membuat pemeriksaan supaya produk tersebut memenuhi syarat keselamatan makanan negara," ujarnya.