Perubahan 'Away Goal' bikin Piala Malaysia lebih menarik

Iklan
NAFUZI ZAIN

PENGENDALI Terengganu FC, Nafuzi Zain menganggap perubahan peraturan"Away Goal” menjadikan pentas TM Piala Malaysia 2022 akan menjadi lebih menarik dengan perlawanan yang lebih seimbang dapat disaksikan.

Semalam, Malaysian Football League (MFL) mengesahkan kelebihan jaringan di tempat lawan dimansuhkan selaras dengan perubahan terkini AFC dan UEFA.

Iklan
Iklan

Bagi Nafuzi, anak buahnya yang akan berdepan Sri Pahang FC pada pusingan 16 pasukan tidak lagi akan berdepan tekanan memikirkan kelebihan yang ada pada lawan sekiranya mereka berjaya menjaringkan"Away Goal” dan situasi ini akan menyaksikan persaingan yang lebih tinggi antara semua pasukan untuk memburu jaringan.

Bahkan, dengan perubahan peraturan ini, pasukan akan berdepan perlawanan yang lebih menarik sehingga ke penghujungnya dan paling penting adalah tidak perlu lagi memikirkan sebarang kelebihan yang ada pada pihak lawan.

Iklan

"Tiada masalah untuk Terengganu bahkan saya rasa peraturan ini juga akan menjadikan perlawanan itu lebih sengit dan kita juga pasti akan susah nak jangka keputusan yang akan diperoleh berbanding sebelum ini.

"Sebelum ini, kalau pasukan dapat kelebihan gol tempat lawan, tekanan itu lebih tinggi dan kali ini bukan nak cakap tiada tekanan langsung, tetapi perlawanan itu akan menjadi lebih menarik sehingga ke penghujungnya,” katanya.

Iklan
Kim Swee. - Foto Agensi

Nada sama turut disuarakan ketua jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee yang turut menyifatkan pasukan akan mempunyai masa untuk mengubah sebarang taktikal berdasarkan dengan peraturan baharu ini untuk mengejar kemenangan sehingga ke akhir perlawanan.

Beliau yang gembira kerana perubahan itu dimaklumkan lebih awal berkata, pasukan boleh bersiap sedia tentang apa yang perlu dilakukan kerana sudah terbiasa dengan peraturan gol di tempat lawan.

"Jadi, sudah tentu taktikal setiap pasukan akan berbeza kerana semua pasukan akan mengejar untuk kemenangan dan tidak terlalu memikirkan gawang mereka akan dibolosi jika beraksi di tempat sendiri.

"Sebelum ini jika bermain di tempat sendiri dahulu dan dibolosi terlebih awal, sudah tentu pasukan terpaksa mendapatkan dua gol bagi padamkan kelebihan jaringan lawan.

"Jadi, tanpa lagi gol di tempat lawan, saya jangkakan perlawanan jadi lebih menarik kerana pasukan akan beraksi lebih terbuka dan ini sesuatu yang baik kepada penonton bagi melihat perlawanan yang lebih menghiburkan," katanya yang akan bertandang ke Shah Alam bertemu UiTM FC.

Dengan pemansuhan ini, bermakna perlawanan yang terikat secara agregat selepas 180 minit timbal balik, akan dilanjutkan ke masa tambahan selama 30 minit.

Sekiranya kedua-dua pasukan masih terikat, maka pemenang perlawanan akan ditentukan menerusi sepakan penalti.

Justeru, bagi pengendali PJ City FC, P. Maniam, peraturan kali ini adalah lebih jelas dan seimbang apatah lagi, mereka akan berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) di laman sendiri terlebih dahulu untuk aksi pusingan 16 TM Piala Malaysia.

"Format seperti ini memang senang untuk kita faham dan bahkan inilah juga yang turut dibuat oleh arena bola sepak antarabangsa.

"Dan kita pula akan berdepan JDT sebab awalnya saya memang berharap mereka tidak akan dapat ‘Away Goal’ dan sekarang apabila kelebihan itu tidak dikira lagi, ia sesuatu yang bagus.

"Kita akan cuba lawan dan bermain habis-habisan untuk mendapatkan seberapa banyak go,l” katanya.