'Siapa makan cili, dia yang rasa pedas'

Iklan
Ameer Ali Mydin

SHAH ALAM – Pengarah Urusan Mydin, Datuk Dr Ameer Ali Mydin mempersoalkan kenyataan yang dibuat oleh penyanyi rap sensasi, Ariz Ramli atau Caprice yang mahu menyaman pasar raya tersebut.

Menurutnya, pasar raya Mydin tidak pernah menggunakan namanya dalam mana-mana ciapan atau hantaran di media sosial.

Iklan
Iklan

"Kalau dia nak saman, samanlah tetapi kenapa nak saman kita? Kita tak pakai nama dia pun. Sebenarnya, siapa makan cili, dia yang rasa pedas,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Pada Rabu, Caprice menerusi hantaran di Instagram miliknya memaklumkan bahawa beliau tidak teragak-agak untuk menyaman Mydin sekiranya tiada sebarang permohonan maaf daripada mereka dalam tempoh 24 jam susulan ciapan di Twitter rasmi Mydin yang didakwa memalukan dirinya.

Iklan

Caprice kemudiannya turut memuat naik hantaran di InstaStory menawarkan perbelanjaan secara percuma kepada rakyat Malaysia di pasar raya tersebut.

Mengulas lanjut Ameer turut berterima kasih kepada Caprice kerana selalu membeli barang di pasar raya Mydin bagi melakukan kerja-kerja amal.

Iklan

"Baguslah dia buat kerja amal dan kita pun nak bekerjasama kalau dia sudi. Dia nak bagi lima barang percuma dan Mydin akan tambah satu barang. Kita beri satu kilogram (kg) peket gula percuma.

"Ini tanggungjawab sosial korporat (CSR) Mydin Prihatin. Niat kita nak bekerjasama dan tolong rakyat. Kita bukan nak bertengkar serta saman menyaman antara satu sama lain,” katanya.

Dalam masa sama, beliau turut berpandangan lebih baik wang diperuntukkan untuk tujuan amal berbanding digunakan untuk tindakan saman.

"Saman menyaman antara satu sama lain ini akan mengkayakan peguam, tidak akan kayakan dia, tidak akan kayakan saya dan baik kita gunakan duit itu untuk buat kerja amal,” katanya.