Penumpang MPV maut nahas dengan lori, treler

Iklan
Keadaan lori dan treler yang terbabit kemalangan di Kilometer 246.7 LPT 1, Kuantan-Jabor dekat Gebeng pada Khamis. - Foto JBPM Pahang

KUANTAN - [DIKEMAS KINI] Seorang lelaki warga emas maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaiki bersama lima yang lain terbabit kemalangan dengan sebuah treler dan lori satu tan di Kilometer 246.7 Lebuhraya Pantai Timur 1, Kuantan-Jabor dekat Gebeng di sini pada Khamis.

Dalam kemalangan kira-kira jam 4.30 petang itu, mangsa Mohamed Baharudin, 77, beralamat di Kota Bharu, Kelantan yang berada di kerusi penumpang belakang mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, pemandu MPV jenis Perodua Alza, Suhaimy Yakin, 48, dan penumpang hadapan, Nor Azhani Mohamed, 44, cedera dan tersepit dalam kenderaan dinaiki.

Menurutnya, turut cedera tiga kanak-kanak penumpang MPV itu, Nur Aliesya Kamarudin,13, Muhamad Azeem Kamarudin, 8, dan Azril Isa Kamarudin,5.

Iklan

"Pemandu lori, Ahmad Najib Ridzuan, 45, dan pemandu treler, Mohd Samsuhardi Muda, 37, tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Wan Mohd Zahari berkata, siasatan awal mendapati treler yang membawa muatan habuk kayu dalam perjalanan dari Gebeng ke Lanchang, Temerloh mengalami kerosakan dan berhenti di lorong kecemasan untuk dibaiki.

Iklan

"Lori satu tan yang dipandu seorang mekanik itu pula berada di belakang treler sementara pemandunya membaiki treler yang rosak.

"MPV dinaiki enam dipercayai satu keluarga yang datang dari arah belakang dipercayai hilang kawalan lalu melanggar bahagian belakang lori," katanya.

Jelasnya, akibat kejadian seorang penumpang meninggal dunia sebelum mayatnya dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini untuk proses bedah siasat.

"Mangsa yang cedera dihantar menerima rawatan ke hospital yang sama.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," ujarnya.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, susulan kemalangan itu, tujuh anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gebeng ke lokasi untuk bantuan menyelamat mangsa.

Menurutnya, ketika tiba di lokasi kejadian, pihaknya mendapati terdapat mangsa tersepit dan seorang penumpang belakang telah meninggal dunia.

"Anggota bomba membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan," katanya.