KUBANG PASU - Gerakan Tanah Air (GTA) perlu mengadakan perbincangan secara rasmi dengan segera jika benar mahu bergabung dengan Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini.
Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, ini kerana tempoh untuk menghadapi PRU15 sudah sampai ke saat-saat akhir.
Katanya, Bersatu dan PN sentiasa terbuka menuju ke arah perpaduan selain turut sedar bahawa pertembungan pelbagai penjuru adalah cabaran yang besar bagi semua parti.
"Kita tidak pernah menutup mana-mana pintu rundingan tetapi setakat ini kita belum menerima kunjungan rasmi untuk berbincang mengenai hasrat gabungan berkenaan secara serius," katanya ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan bersama MyKasih Foundation di Lotus di sini pada Khamis.
Menurutnya, setakat ini beliau hanya dimaklumkan terdapat beberapa kenyataan secara terbuka tentang hasrta GTA terbabit di media tanpa ada usaha untuk bertemu dan berbincang.
"Jadi saya rasa sehingga penamaan calon jika ada rundingan-rundingan yang ingin dilakukan perlu disegerakan," katanya.
Menurutnya, mana-mana parti yang berhasrat untuk bergabung juga perlu memahami prinsip PN dengan jelas.
"Gabungan dalam PN mahukan kerajaan yang berintegriti berwibawa dan kerajaan yang bersih dari rasuah yang sudah pasti kita akan meneruskan perjuangan tersebut.
"Musuh politik kita adalah jelas UMNO dan BN, kerjasama dengan mereka (UMNO-BN) pasti tidak akan berlaku jadi kalau ada musuh yang sama kenapa tidak kita bekerjasama, itu antara persoalan yang sering ditanya," katanya.
Pada Rabu, Pengerusi Penaja GTA, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, sedang menilai kemungkinan mempertimbangkan kerjasama dengan PN bagi menghadapi PRU15.
Katanya, GTA bersedia bekerjasama dengan PN yang dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin jika gabungan itu sependapat dengan GTA serta tidak terbabit dengan perkara yang bertentangan dengan dasar dan prinsipnya.