SEREMBAN - Pasangan selebriti popular Fattah Amin dan Nur Fazura melawat wanita yang koma selepas dipukul suami, Jahidah Nordin, 43, di rumah adiknya di Sendayan di sini.
Perkara itu dikongsi adik mangsa, Fauziah Nordin, 40 di Facebooknya pada Khamis.
Fauziah berkata, Nur Fazura menangis dan tidak sanggup melihat keadaan Jahidah yang terlantar.
"Masa nak masuk bilik tengok kakak, Fazura tak boleh nak masuk sebab dia dah sebak menangis di luar bilik, tak sanggup tengok keadaan kak Jahidah.
"Suami (Fattah) dia pujuk kuatkan hati tengok kak Jahidah... baiknya hati Fazura, suami serta team, datang melawat kak Jahidah," tulisnya.
Menurutnya, walaupun kedua-dua selebriti itu orang terkenal, tetapi sangat merendah diri kerana sanggup datang melawat Jahidah dan anaknya J Eshan Nufail.
Fauziah turut berkata, rezekinya dapat berjumpa pelakon berkenaan yang disifatkan peramah dan tidak kekok bergaul.
Sebelum ini media melaporkan, dalam kejadian pada 4 Mei lalu, Jahidah, yang menetap di Johor Bahru koma kerana kecederaan parah pada kepala dengan tengkorak terpaksa dibuang akibat pendarahan selain rahang, tulang belakang serta rusuk retak dipukul suaminya yang berusia 38 tahun.
Jahidah pada mulanya dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru dan kemudian dipindahkan ke HTJ Seremban atas permintaan keluarga dan nasihat pihak hospital.
Pada 17 Jun lalu, suami mangsa, Rosmaini Abd Raof mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Johor atas pertuduhan memukul isterinya yang hamil sehingga koma dalam kejadian pada 4 Mei lalu.