'Penantian kami berakhir' - Abang Mona Liza

Iklan
Mona Liza dikebumikan di tanah perkuburan Islam Kariah Juasseh pada Khamis. - Foto ihsan keluarga Mona Liza

KUALA PILAH -"Walaupun Mona Liza ditemui dalam keadaan tidak sempurna, ia menamatkan penantian kami sekeluarga yang mencari dan mengesannya sejak lebih dua bulan lalu," kata Azizan Lani, 62.

Azizan merupakan abang kepada wanita orang kurang upaya (OKU) pembelajaran, Mona Liza Lani, 58, yang hilang sejak Julai lepas ditemui meninggal dunia di sebuah ladang kelapa sawit kira-kira dua kilometer dari rumahnya di Kampung Juasseh Hilir di sini pada 13 September lepas.

Iklan
Iklan

"Polis serah tengkorak, tulang dan barang milik arwah semalam, kami sepakat adik-beradik, kebumikannya lepas Isyak hari sama di Tanah Perkuburan Islam Kariah Juasseh.

"Masa mandikan, menangis sentuh tulangnya. Tidak dapat digambarkan, walau tinggal tulang sahaja tetapi sedikit lega dapat sempurnakan jasad adik," katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Iklan

Jelasnya, adiknya itu seorang yang istimewa dalam keluarga dan diamanahkan oleh Allahyarham ayah, Lani Tahir untuk menjaganya namun mengakui semua yang berlaku adalah takdir ALLAH SWT.

"Adik suka merajuk malah lebih 30 kali hilang, namun balik semula sama ada dihantar polis ataupun balik sendiri," katanya.

Iklan

Sinar Harian pada Khamis melaporkan, kehilangan wanita OKU masalah pembelajaran, Mona Liza Lani, 58, sejak Julai lepas akhirnya terjawab apabila polis mengesahkan tulang yang ditemui di sebuah ladang kelapa sawit di sini adalah milik mangsa.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Amran Mohd Ghani, pihak polis menerima laporan berhubung penemuan tulang manusia pada 13 September lepas pada jam 6 petang daripada pengurusan ladang tersebut.

Barang-barang milik Mona Liza diserahkan polis pada Rabu. - Foto ihsan keluarga Mona Liza

Katanya, siasatan di lokasi mendapati terdapat tengkorak kepala, beberapa tulang lain, pakaian dan ubat- ubatan yang bertulis nama Mona Liza sebelum ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dilakukan.

Jelasnya, hasil laporan daripada Jabatan Kimia Malaysia yang diperolehi pada 3 Oktober lepas mengesahkan ia adalah milik Mona Liza yang dilaporkan hilang sebelum ini.